Cari @ Amanz

Garmin Forerunner 265 Dan Forerunner 965 Dilancarkan Dengan Skrin AMOLED

Link Copied!

Garmin sekali lagi hadir dengan peranti boleh pakai baharu menerusi pengenalan Forerunner 265 dan Forerunner 965. Berbanding sebelumnya, generasi baharu Forerunner kini lebih menarik menerusi penggunaan skrin AMOLED terbina, sekaligus menjadi yang terawal menyokongnya dalam siri tersebut. Bukan itu sahaja, butang fizikal turut direka semula bagi memudahkan penggunaan dengan keselesaan berpanjangan.

Bermula dengan Forerunner 265, ia boleh didapati dalam dua saiz, iaitu 42mm yang mempunyai ketahanan bateri sehingga 24 jam dalam mod GPS dan sehingga 15 hari dalam mod jam tangan pintar. Seterusnya. variasi 46mm pula boleh digunakan sehingga 20 jam dalam mod GPS dan meningkat sehingga 13 jam dalam mod jam tangan pintar.

Direka khusus buat para atlet, jam tangan ini turut dimuatkan dengan pelbagai fungsi kesihatan dan kecergasan terbina yang membantu mereka merancang aktiviti dengan lebih baik. Misalnya seperti cadangan dan status senaman harian, aplikasi sukan terbina dengan lebih 30 pilihan aktiviti, jurulatih Garmin, pemantauan waktu tidur, pengesanan tekanan, menjejak kadar degupan jantung masa nyata, VO2 Max, kitaran haid serta kehamilan dan sebagainya.

Selain daripada itu, ia juga menyokong pemberitahuan pintar, di samping turut membolehkan pengguna memuat-turun lagu daripada pelbagai aplikasi seperti Spotify, Deezer atau Amazon Music (langganan premium diperlukan) untuk mendengar tanpa telefon. Kebolehan pembayaran nirtunai menerusi Garmin Pay turut disediakan pada jam tangan sebesar 1.3-inci dan resolusi 416 x 416 piksel ini.

Seterusnya, Forerunner 965 pula menampilkan bezel titanium ringan dengan panel hadapan lebih besar 1.4-inci beresolusi 454 X 454 piksel. Panel utama jam tangan ini juga lebih kukuh dengan lapisan Corning Gorilla Glass DX baharu. Ketahanan bateri juga lebih panjang sehingga 31 jam dalam mod GPS, seterusnya meningkat menjadi 23 hari dalam mod jam tangan pintar.

Fungsi kecergasan dan kesihatan yang pelbagai seumpama Forerunner 265 turut boleh diakses pada jam tangan ini. Namun masih terdapat juga beberapa kelebihan lain pada jam tangan ini yang menyokong pemetaan terbina dan keupayaan untuk menyimpan lebih banyak lagu.

Untuk harga jualan, Garmin Forerunner 265 dijual pada $449.99 (~RM2013), sementara itu Forerunner 965 pula ditawarkan pada $599.99 (~RM2684) seutas.


Komen ()