Microsoft pada hari ini sedia memfokuskan kepada Windows 11, dengan sejumlah integrasi dan fungsi-fungsi baharu. Menariknya, kini hadir desas-desus baharu mengatakan Microsoft telah pun memulakan pembangunan Windows 12, yang mungkin diperkenalkan pada 2024 kelak.
Desas-desus terbaru ini hadir daripada penyenaraian pihak Intel yang mengatakan cip akan datang mereka bakal menyokong sistem operasi Windows 12. Namun, info tersebut telah dipadam buat masa ini.
Walaupun pihak Microsoft tidak memberikan komen berkenaan dengannya buat masa ini, tetapi mengikut latar masa sebelum Winodws 10, Microsoft memperkenalkan versi baharu hampir 3 tahun sekali.
Windows 11 telah diperkenalkan pada 2021 lepas, dan untuk tahun hadapan, ia akan menjadi tiga tahun sejak diperkenalkan.
Kita juga mungkin melihat lebih banyak integrasi kecerdasan buatan pada sistem operasi tersebut – sekaligus menjadikan Windows 12 sebuah sistem operasi terawal yang hadir dengan sokongan integrasi kecerdasan yang meluas padanya.