Carian
AI Google Dinamakan “Bard” Memfokuskan Kepada Model Bahasa, Dan Bukan Model Pengetahuan
March 5, 2023 Aman

Google pada bulan lepas, sedia mempertontonkan secara ringkas kecerdasan buatan mereka, dinamakan Bard. Melaluinya, Google mempertontonkan secara ringkas kebolehan kecerdasan buatan mereka dalam memaparkan informasi, tetapi ia dikritik ramai kerana terdapat paparan informasi yang kurang tepat. Disebabkan itu juga, saham Google menurun dengan mendadak, disamping ramai pekerja Google sendiri mengkritik langkah CEO mereka yang melakukan pengumuman secara tergesa-gesa dan tanpa bersedia sepenuhnya dengan model kecerdasan buatan mereka.

Terbaru, melalui mesyuarat dan perbincangan dalaman, ketua pembangunan Bard berkongsi lanjut mengenai kecerdasan buatan mereka.

Bard dikatakan sebagai model bahasa, dan bukannya model pengetahuan. Melaluinya, mereka menawarkan dan menjana input seumpama manusia, tetapi tidak bijak lagi dalam memastikan informasi yang dipaparkan adalah tepat.

Ini sekaligus membuatkan Bard tidak sesuai untuk penggunaan sebagai ganti kepada enjin carian. Perkara sama juga dikatakan terhadap ChatGPT.

Ia juga ditekankan yang mana Bard bukan untuk pengganti carian yang sedia Google terkenal untuknya.

Mengulas lanjut juga, Bard dikatakan sebagai rakan kreatif untuk manusia, yang membantu manusia dalam sejumlah perkara, termasuk berkaitan imaginasi dan juga membantu dalam rasa ingin tahu.

Google Sundar Pichai

CEO Google juga turut dipetik mengatakan yang mana mereka mengumumkan Bard sebelum ini, sebagai sebuah teknologi yang sedang dibangunkan oleh gergasi berkenaan. Dengan perancangan untuk memperluaskan ujiannya kepada pengguna luar, Google mengatakan perkara berkenaan mungkin tertiris – dan Google ingin memposisikannya dengan baik sebelum ia diperkenalkan secara rasminya.

Google dijangka berkongsi lanjut berkenaan dengan pembangunan mereka dalam arena ini menjelang Google I/O kelak pada tahun ini.

Komen