Cari @ Amanz

Alienware Memperkenalkan Aksesori Gaming Nirwayar Baru Untuk Pengalaman Gaming Yang Lebih Kemas

Oleh Nazrin

Link Copied!

Alienware ialah jenama gaming dibawah Dell yang cukup terkenal untuk penawaran komputer dan juga aksesori gaming mereka yang premium. Terkini, jenama gaming tersebut dilihat telah menawarkan tiga buah aksesori gaming yang hadir dengan penawaran sambungan nirwayar untuk mereka yang mahukan pengalaman gaming yang tidak terikat dengan kabel-kabel yang tidak kemas.

Aksesori-aksesori ini termasuklah papan kekunci, tetikus dan juga fon kepala nirwayar yang memperlihatkan warna hitam dan putih yang merupakan estetika Alienware kebelakangan ini.

Papan kekunci terbaru ini dinamakan Alienware Tri-Mode Wireless Gaming Keyboard, dan merupakan sebuah papan kekunci bersaiz penuh yang menggunakan suis mekanikal Cherry MX dan mempunyai penutup kekunci yang diperbuat daripada plastik PBT Doubleshot.

Papan kekunci ini hadir dengan pilihan sambungan menggunakan dongel WiFi 2.4GHz ataupun sambungan Bluetooth 5.1. Dengan dongel ini, pengguna boleh mendapatkan sambungan nirwayar dengan input yang pantas, manakala dengan sambungan Bluetooth, papan kekunci ini boleh disambungkan ke tiga peranti sekaligus, dan boleh ditukar dengan cepat melalui butang di belakang papan kekunci.

Untuk mengakses tetapan media seperti butang main, jeda dan kawalan kelantangan audio, papan kekunci ini turut hadir dengan butang-butang dan roda pintasan yang membolehkan pengguna untuk melakukannya dengan mudah.

Ia juga hadir dengan jangkahayat bateri penuh selama 42 jam dengan sambungan WiFi dan selama 46 jam dengan sambungan Bluetooth. Lebih menarik lagi, papan kekunci ini menggunakan kabel dengan kepala pengecasan magnetik yang cukup unik sekali.

Alienware Dual Mode Wireless Gaming Headset pula ialah fon kepala nirwayar terbaru keluaran Alienware yang menawarkan rekaan fon kepala yang besar untuk keselesaan untuk pengguna, dan juga sambungan nirwayar WiFi 2.4GHz dan juga kabel 3.5mm bergantung kepada keperluan.

Fon kepala ini juga merumahkan pemandu audio 40mm yang cukup besar dan menyokong teknologi audio Dolby Atmos dan juga 3D Audio yang mensimulasi kualiti audio sekeliling yang secara lazimnya dinikmati oleh pembesar suara dengan lebih dari dua satelit.

Mikrofon fon kepala Dual Mode Wireless ini juga hadir dengan teknologi kecerdasan buatan yang membantu dalam membatalkan bunyi hingar untuk komunikasi diantara rakan permainan ataupun rakan kerja yang lebih jelas berbanding dari biasa.

Fon kepala ini juga menawarkan jangkahayat bateri 30 jam dan dengan pengecasan selama 15 minit dari kosong membolehkannya digunakan selama enam jam secara berterusan.

Melengkapkan ekosistem aksesori gaming terbaru Alienware ini ialah tetikus Alienware Wireless Gaming Mouse yang hadir dengan rekaan simetri yang juga mempunyai plat magnetik kiri dan kanan untuk penggunaan kedua-dua belah tangan yang selesa.

Tetikus ini hadir dengan empat butang yang boleh diubahsuai, roda tatalan dan juga butang penukaran DPI yang membolehkan pengguna untuk mengubahsuai sensitiviti sensor tetikus ini bergantung kepada corak penggunaan.

Tetikus ini juga hadir dengan sambungan WiFi 2.4GHz yang mana dengan satu pengecasan penuh, memberikan pengguna jangkahayat penggunaan 140 jam yang mana sekiranya dicas selama 5 minit, akan membolehkannya digunakan selama 10 jam.

Buat masa ini, aksesori-aksesori Alienware ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran-pasaran terpilih, dengan penawaran untuk pasaran global dijangka tiba pada 31 Mac ini. Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi samada Dell Malaysia akan membawa masuk aksesori-aksesori ini.

  • Alienware Dual Mode Wireless Gaming Headset (AW720H) – $159.99
  • Alienware Tri-Mode Wireless Gaming Keyboard (AW920K) – $289.99
  • Alienware Wireless Gaming Mouse (AW620M) – $99.99

Komen ()