Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil kini berkongsi mengatakan kerajaan sedang melihat kepada satu kaedah dalam mengawal-selia dalam menjamin keselamatan aplikasi dan peranti yang digunakan penjawat awam, terutamanya anggota pentadbiran.
Hal ini bukan sesuatu yang baru, malah dilakukan di pelbagai negara, dalam usaha menjamin kerahsiaan kerajaan.
Pada hari ini, dengan penggunaan aplikasi seperti Facebook, Instagram, TikTok, Twitter dan sebagainya, ia secara tidak langsung boleh mendedahkan rahsia atau perkara sensitif yang dibincangkan dalam mesyuarat – apabila teks atau gambar dikongsikan. Bukan sahaja masalah sesuatu info dikongsikan tanpa sengaja ke media sosial, tetapi juga sering kali muncul persoalan sama ada kedudukan pelayan perkhidmatan di luar negara membawa kepada masalah ketirisan maklumat atau sebaliknya, terutamanya aplikasi yang berjalan pada latar.
Untuk tujuan ini juga, pihak CSM (Cyber Security Malaysia) telah diarahkan untuk meneliti aspek keselamatan semua aplikasi media sosial.
Buat masa ini, perkara ini masih lagi pada peringkat penelitian awal dan penilaian. Perbincangan lanjut akan diadakan berkaitan dengannya, sebelum sebarang perkara diimplementasikan.