Cari @ Amanz

Nothing Phone (2) Dikatakan Hadir Dengan Cip Snapdragon 8+ Gen 1

Link Copied!

Amanz sebelum ini melaporkan Nothing Phone (2) yang merupakan telefon pintar generasi baharu daripada syarikat yang diterajui leh Carl Pei akan dijana dengan cip mercu dibawah siri Snapdragon 8. Ia bagaimanapun menimbulkan rasa tanda tanya dalam kalangan orang ramai apabila tiada maklumat khusus mengenai cip berkenaan diketahui ketika itu.

Persoalan itu seakan terjawab selepas tularnya satu entri di LinkedIn yang menunjukkan cip Snapdragon 8+ Gen 1 akan digunakan sebagai tunjang utama peranti. Ianya dimuatnaik oleh Alex Katouzian yang merupakan Naib Presiden Kanan dan Pengurus Besar Perniagaan Mudah Alih, Perkomputeran dan XR (MCX) Qualcomm Technologies yang pada asalnya mengucapkan tahniah kepada pihak Nothing di atas pelancaran Nothing Phone (2) yang akan datang. Pada masa sama turut mendedahkan secara jelas mengenai cip pemprosesan yang bakal digunakan pada peranti menerusi entri yang sama.

Walau bagaimanapun, semakan kami menerusi entri asal mendapati ianya telah disunting semula dengan menyembunyikan nama khusus cip pemprosesan. Dalam masa sama, pihak Qualcomm turut mengalu-alukan lebih banyak kerjasama strategik diantara kedua-duanya dalam usaha menambahbaik perkhidmatan masing-masing.

Tiada tarikh pelancaran khusus yang diketahui namun ianya dijangka tiba sekitar akhir tahun ini dengan penawaran lebih premium.


Komen ()