SoundCloud adalah antara platform penstriman muzik terkenal di kalangan peminat muzik, kerana mempunyai ciri komuniti dan lebih fokus kepada pencipta muzik memuat baik dan mempromosikan muzik masing-masing.
Kini SoundCloud sudah pun menjadi platform penstriman muzik yang boleh dilanggan. Terbaru, mengikuti banyak aplikasi dan platform penstriman lain – SoundCloud juga ingin menawarkan ciri seakan TikTok untuk pengguna menerokai kandungan yang ditawarkan dengan menatal ke atas atau ke bawah secara menegak.
Laman ini akan mempunyai tab Discover untuk melihat kandungan yang dicadangkan berdasarkan minat pengguna dan tab Following untuk kandungan dari artis atau pengguna yang diikuti sahaja. Ciri ini adalah untuk tab Feed yang sebelum ini adalah untuk melihat apa yang terbaru artis kongsi atau yang dikongsi semula oleh rakan.
Pada Feed baharu ini juga terdapat paparan klip 30 saat sebagai pra-tonton/pra-dengar kepada muzik terbaru. Ciri baharu ini sedang diuji pada kedua-dua aplikasi iOS dan Android kepada pengguna terpilih.