Ulefone adalah pengeluar peranti yang terkenal dengan telefon Android tahan lasak. Setiap peranti mereka biasanya benar-benar kukuh dan boleh bertahan daripada terjatuh ke atas konkrit, termasuk dalam kolam atau tercampak dari tempat tinggi.

Peranti-peranti mereka biasanya dijana dengan cip MediaTek sahaja. Tetapi di acara MWC Barcelona 2023 secara senyap mereka paparkan Ulefone 23 Ultra iaitu peranti pertama mereka yang menggunakan cip Snapdragon. Bukan itu sahaja, cip pilihan adalah Snapdragon 8 Gen 1 menjadikan 23 Ultra sebagai peranti mercu pertama mereka.

23 Ultra ini hadir dengan skrin melengkung sisi ke sisi 6.67-inci OLED 120Hz dan menggunakan kamera bawah skrin. Cip Snapdragon 8 Gen 1 dipadankan dengan memori 16GB RAM dengan memori maya 8GB RAM serta storan dalaman 1TB. Kamera swafoto adalah 16MP dan kamera belakang pula adalah 108+64+64 Megapixel.

Bateri peranti pula menggunakan kapasiti 7000mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W. Ulefone 23 Ultra turut menyokong rangkaian 5G dan menjalankan Android 13. Menurut wakil pemasaran Ulefone, peranti ini akan menggunakan bingkai titanium yang tahan lasak dan kukuh tetapi kekal ringan sementara panel belakang pula adalah plastik khas dengan kemasan gentian karbon aramid.

Ulefone 23 Ultra turut melepasi piawaian IP68 untuk perlindungan daripada air dan debu serta MIL-STD-810H sebagai peranti tahan lasak gred tentera. Harga jualan peranti ini masih lagi belum diumumkan, tetapi dijangka sekitar $800 (~RM3578) dan mungkin akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia juga melalui platform e-dagang,