Carian
Fujifilm Instax Mini 12 Dilancarkan Dengan Rekaan Baharu
March 7, 2023 Amy Maizuraa

Sebuah lagi kamera filem segera baharu Fujifilm telah diumumkan secara rasmi menerusi pengenalan Instax Mini 12. Ia merupakan model kemaskini untuk Fujifilm Instax Mini 11 sebelum ini dengan beberapa perubahan. Ia boleh dilihat menerusi tubuh yang direka semula dengan bentuk segi empat tepat tanpa lengkung yang menjadikan pengalaman mengambil gambar kini lebih mudah.

Ini dipadankan pula dengan penambahan beberapa ciri baharu yang merangkumi fungsi pembetulan parallax baharu yang bantu menjadikan gambar diambil boleh untuk Mode Close-Up. Seterusnya Instax Mini 12 juga mempunyai kawalan pelarasan cahaya automatik yang berupaya mengoptimumkan kualiti imej dengan lebih baik dalam persekitaran terang mahupun gelap. Dengan ini pengguna boleh mendapatkan hasil gambar dengan kualiti yang sepatutnya dalam pelbagai keadaan. Kemudian struktur kanta juga telah dikemaskini bagi memudahkan pengguna mengakses mod close-up dan swafoto lebih mudah dengan hanya memutar kanta pada kamera.

Lensa berjarak fokal 60mm seumpama generasi sebelum ini turut masih dikekalkan. Dalam masa sama, ia juga masih menggunakan mana-mana filem segera Instax dan sebanyak dua bateri bersaiz AA diperlukan untuk operasi pada kamera. Aplikasi baharu Instax Up turut diumumkan bersama sebagai tempat bagi mengimbas, menyimpan dan berkongsi foto digital secara setempat.

Instax Mini 12 dijual dengan harga $79.95 (~RM358) sebuah dengan pilihan warna seperti Lilac Purple, Pastel Blue, Clay White, Blossom Pink dan Mint Green. Kamera juga telah didapati tersenarai menerusi laman web rasmi Fujifilm Malaysia tanpa sebarang harga rasmi didedahkan setakat ini.

Komen