Siri Tecno Phantom X2 telah dilancarkan pada Ogos tahun lalu sebagai peranti dengan bonggol kamera gergasi. Ia menjadi lebih menarik apabila Phantom X2 Pro turut dilengkapi sistem kamera sentut untuk fotografi potret. Ini sekaligus membolehkan ianya dikelaskan sebagai peranti yang mementingkan fotografi khususnya mod bokeh.

Bagi mereka yang mungkin tertanya mengenai ketersediaan siri ini di Malaysia, Tecno seakan tidak mempunyai perancangan untuk hal berkenaan. Menjengah ke ruangan komen di media sosial rasmi, Tecno menyatakan siri Phantom X2 tidak akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia setakat ini. Bagaimanapun tiada pula penjelasan lanjut mahupun sebab khusus yang diberikan oleh pihak Tecno berhubung perkara itu. Terdapat kemungkinan besar ianya mungkin disebabkan oleh faktor harga jualan, atau juga persaingan yang segit dalam kalangan pengeluar di pasaran tempatan.

Pun begitu, Tecno masih menyediakan pilihan lain menerusi model Phantom X yang kini boleh dimiliki dengan harga lebih murah iaitu RM999 sebuah. Dalam masa sama, mereka juga dalam persediaan untuk pengenalan telefon dengan skrin boleh-lipat pertama iaitu Tecno Phantom V Fold 5G yang dijangka tiba di Malaysia sebelum menjelang April hadapan.