API ataupun Application Programming Interface ialah perisian antaramuka yang membolehkan sesebuah aplikasi untuk berhubung dengan satu sama lain. Teknologi ini digunakan secara meluas untuk perisian-perisian atas dan luar talian, dan diantara contoh-contoh termudah penggunaan API ini adalah seperti apabila anda melog masuk ke mana-mana perkhidmatan atas talian menggunakan Facebook, Twitter ataupun Google.

Terkini, GSMA, badan telekomunikasi yang merangkumi sejumlah besar syarikat-syarikat telekomunikasi global telah mengumumkan kerjasama diantara 21 syarikat telekomunikasi di seluruh dunia, termasuklah Axiata, China Mobile, Deutsche Telekom, Telenor, Singtel dan sebagainya telah menandatangani sebuah memorandum bersama Amazon dan Microsoft untuk membangunkan satu set API yang dinamakan Open Gateway.
Perisian API ini dikatakan akan membolehkan syarikat-syarikat teknologi ini untuk lebih mudah membangunkan aplikasi-aplikasi dan perkhidmatan mereka sendiri, seperti sistem bil perkhidmatan, pengesahan pelanggan, penjejakan lokasi, penggunaan eSIM dan sebagainya. Ia juga boleh digunakan untuk membangunkan aplikasi web3 dan juga realiti gabungan, yang pernah diperlihatkan oleh sejumlah syarikat telekomunikasi tempatan apabila ujian rangkaian 5G dilakukan di Malaysia.

Syarikat-syarikat telekomunikasi di seluruh dunia juga boleh memanfaatkan penggunaan API untuk disambungkan kepada rangkaian-rangkaian lain, termasuklah untuk tujuan sambungan data perayauan dan sebagainya.
Kerjasama ditandatangani bersama Amazon dan Microsoft untuk menggunakan khidmat Amazon Web Services dan Microsoft Azure sebagai pembekal akses kepada API-API ini untuk membolehkan pembangun membangunkan aplikasi-aplikasi berkaitan untuk syarikat-syarikat telekomunikasi ini.
Buat masa ini, pihak GSMA mengesahkan bahawa lapan perkhidmatan API akan ditawarkan buat masa ini, termasuklah pertukaran kad SIM, status peranti, pengesahan nombor panggilan, pengesahan dwi-faktor, sistem bayaran bil, permintaan kualiti perkhidmatan, dan penghalaan rangkaian.
Pihak GSMA turut mengatakan dengan pengenalan API Open Gateway ini, kerjasama diantara syarikat-syarikat telekomunikasi dan juga pihak penyedia perkhidmatan awanan perlu lebih erat lagi untuk memanfaatkan teknologi-teknologi baru ini.
Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah API-API ini akan diimplimentasi, tetapi dengan pilihan API sedia ada, ia dijangka bahawa syarikat-syarikat telekomunikasi ini akan mula menggunakannya tidak lama lagi.