Pembangunan sistem pengecasan pantas berkuasa output tinggi semakin menjadi perhatian yang meluas dalam kalangan pengeluar. Ini termasuklah bagi jenama Infinix sendiri yang juga tidak ketinggalan hadir dengan teknologi sedemikian. Lantas terbaharu mereka memperkenalkan pula teknologi Infinix 260W All-Round FastCharge.

Teknologi ini dikatakan boleh mengecas bateri berkapasiti 4,400mAh ke tahap 25% dalam masa seminit. Seterusnya pengecasan penuh 100% pula boleh dilakukan dalam hanya 7.5 minit. Secara teknikal ia menggunakan binaan litar pintar 4-Pump Intelligent Circuit Design yang secara bijak mampu mengenal pasti keperluan. Kemudiannya memperuntukkan bilangan pam pengecasan yang diperlulan untuk berfungsi dengan baik. Hal ini juga bagi memastikan ketahanan tenaga bateri lebih daripada 90% meskipun selepas 1000 kitaran pengecasan.
Selain itu, teknologi ini turut dilengkapi rekaan litar inovatif PFC + AHB (Advanced High-Performance Bus) yang menggunakan tri-komponen GaN dengan kawalan pengecasan yang selamat. Cip khusus serba baharu turut digunakan bagi mengesahkan kabel yang sepatutnya. Kabel ini menawarkan pemindahan kadar 13A dan boleh memanfaatkan sokongan pada kadar 260W sepenuhnya apabila dipadankan dengan pengecas tersesuai Infinix.