Carian
Apple Memperkenalkan Aplikasi Khusus Untuk Penstriman Muzik-Muzik Klasik
March 10, 2023 Fahim Zahar

Apple Music Classical akhirnya diperkenalkan hari ini secara rasmi. Ia adalah platform penstriman muzik kedua Apple selepas Apple Music. Tetapi berbeza dengan Apple Music yang menawarkan pelbagai genre muzik, Apple Music Classical seperti namanya hanya memfokuskan kepada muzik klasik sahaja.

Apple Music Classical menawarkan pustaka muzik klasik yang mengandungi lebih 5 juta rakaman termasuk karya baharu, karya agung, dan ribuan album.

Kebanyakan kandungan adalah muzik instrumental dan koleksi legenda seperti dari Ludwig van Beethoven, Frédéric Chopin dan Johann Sebastian Bach.

Aplikasi turut menawarkan kemampuan carian mengikut komposer, konduktor, nombor katalog dan banyak lagi. Seperti Apple Music, audio resolusi tinggi nirhilang sehingga 192kH/24 bit turut disokong. Tidak lupa Apple turut menawarkan sokongan audio spatial untuk pengalaman pendengaran yang lebih imersif.

Apple Music Classical turut memaparkan biografi artis, butiran karya dan banyak lagi untuk pengetahuan tambahan pengguna.

Perkhidmatan penstriman muzik baharu Apple ini hanya akan dilancarkan pada 28 Mac nanti. Buat masa ini hanya peranti iOS sahaja menyokong iaitu yang menjalankan iOS 15.4 ke atas, sementara aplikasi untuk peranti Android akan diperkenalkan di masa akan datang.

Komen