Cari @ Amanz

Sejumlah jenama pembuat paparan skrin dilihat telah memperkenalkan paparan skrin komputer bersaiz gergasi untuk beberapa tahun sekarang. Terkini, tiba giliran BenQ pula memperkenalkan penawaran mereka dengan paparan Mobiuz EX480UZ.

Mobiuz EX480UZ ialah paparan skrin gaming yang menggunakan paparan OLED bersaiz 48 inci dengan resolusi 4K dan juga kadar segar semula 120Hz yang boleh dimanfaatkan oleh bukan sahaja komputer dengan komponen-komponen yang berkuasa, tetapi juga konsol-konsol permainan terbaru seperti Sony PlayStation 5 dan juga Microsoft Xbox Series X.

Paparan skrin ini juga merupakan paparan pertama BenQ Mobiuz yang hadir dengan teknologi pencahayaan latar Light Tuner, Color Vibrance yang membantu dalam menukar profil warna untuk kandungan-kandungan berbeza seperti tontonan video dan memainkan permainan video/komputer dan juga pembesar suara TreVolo yang menjanjikan pengalaman audio yang mendebarkan walaupun tanpa pembesar suara luaran.

Dari segi penawaran palam, paparan skrin ini dilengkapi dengan dua palam HDMI 2.1, satu palam DisplayPort 1.4, dua palam USB 3.0, satu palam USB Type-C, satu palam audio S/PDIF dan satu palam 3.5mm.

Ia juga dilengkapi dengan alat pengawalan jarak jauh yang memudahkan pengguna untuk mengubah tatalan audio, tetapan input dan sebagainya dengan mudah.

Buat masa ini, BenQ Mobiuz EX480UZ sudah mula ditawarkan di beberapa pasaran tertentu pada harga £1599.99. Ia tidak diketahui lagi sekiranya BenQ Malaysia akan membawa masuk paparan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd