Cari @ Amanz

Siri Xiaomi 13 telah dilancarkan secara global pada 26 Februari lalu, kemudian dibawa masuk pula ke Malaysia keesokan harinya dengan harga jualan bermula RM3499. Salah satu model yang diumumkan ialah Xiaomi 13 Pro dengan penggunaan lensa Leica dan ciri khas terbina yang menjadikan kameranya terasa menarik untuk digunakan.

DxOMark juga kini berkongsi laporan baharu mengenai keupayaan kameranya yang dilihat mencatatkan skor yang setanding dengan sebuah Vivo X90 Pro. Keputusan ujian menunjukkan Xiaomi 13 Pro mencatatkan skor 136 keseluruhannya untuk kebolehan kamera utama. Untuk ringkasan ujian, ia mendapat 136 mata untuk keupayaan fotografi, 60 mata untuk keupayaan bokeh, 156 mata bagi kebolehan zum dan 129 mata pula untuk rakaman video.

Pujian diberi pada kebolehan kamera peranti menghasilkan gambar dan video dengan perincian, warna dan dedahan yang baik. Ia juga mempunyai prestasi zum yang baik untuk jarak sederhana dan dekat. Prestasi paparan juga dipuji dengan kebolehan memaparkan tontonan imej yang sepatutnya, di samping kebolehan merakam dengan kesan audio yang memuaskan.

Kritikan pula diberikan pada kesukaran peranti menangkap gambar dengan pantas dalam situasi mencabar, misalnya seperti pencahayaan rendah. Seterusnya kegagalan peranti mengawal dedahan yang baik dalam adegan kontran yang tinggi. Bukan itu sahaja rakaman audio juga dikatakan tidak sesuai digunakan dalam sumber audio yang kuat seperti konsert. Selanjutnya kegagalan peranti memberi paparan yang baik sewakti digunakan di bawah cahaya matahari terik.

Berkongsi pula mengenai Vivo X90 Pro, ringkasan ujian menunjukkan peranti mencatatkan 133 mata untuk keupayaan fotografi, 70 mata untuk keupayaan bokeh, 141 mata bagi kebolehan zum dan 133 mata pula untuk rakaman video. Pujian diberikan pada kebolehan kamera mengawal dedahan yang baik dalam pencahayaan rendah. Prestasi zum juga baik secara keseluruhannya, di samping ciri penstabilan video terbina juga berfungsi dengan baik sekali. Kritikan pula diberikan pada kegagalan autofokus berfungsi dengan baik dalam rakaman video. Prestasi audio juga di tahap baik-baik sahaja dengan kesan audio yang jelas.

Vivo X90 Pro juga boleh dibeli di Malaysia dengan harga jualan RM4999 sebuah. Sebagai pilihan anda juga boleh mendapatkan model lebih murah menerusi Vivo X90 yang dijual pada RM3699.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd