Carian
Basikal Bukit Elektrik Audi Dilancarkan – Lebih Mahal Daripada Axia 2023
March 13, 2023 Fahim Zahar

Audi baru-baru ini telah melancarkan basikal bukit elektrik mereka, iaitu Audi Electric Mountain Bike. Basikal ini dibina berasaskan XMF 1.7, iaitu keluaran pakar basikal elektrik – Fantic. Rekaan pula adalah berasaskan RS Q E-Tron Dakar Rally iaitu kereta elekrik khas Audi untuk perlumbaan Dakar Rally.

Audi Electric Mountain Bike ini menggunakan rekaan basikal bukit yang biasa dilihat, tetapi komponen dan tema warna yang digunakan menjadikan ia kelihatan lebih menyerlah.

Basikal ini dikuasakan dengan motor Brose S-Mag 36 dengan kuasa 250W yang sesuai untuk tork mencapai 66 paun-kaki. Kerangka dibina dari aluminium, agar ringan dan mudah dikendalikan dan bateri pula adalah 36V 720Wh. Sayang sekali Audi tidak dedahkan butiran mengenai kelajuan, gear dan lain-lain.

Penggelincir, rantai, brek dan penganjak semuanya dari Sram dengan pelana pula adalah dari Selle Italia. Menjadikan Audio Electric Mountain Bike berbeza dengan Fantic XMF 1.7 adalah mempunyai komponen tambahan seperti gear dan sistem suspensi dari Öhlins.

Berbanding dengan basikal bukit elektrik Harley-Davidson iaitu Serial 1 BASH/MTN yang dijual pada harga $3999 (~RM17,951), Audio menjual basikal mereka pada harga $10,126 iaitu sekitar RM45,456. Harga ini adalah lebih mahal daripada Perodua Axia 2023 yang dijual bermula dari RM36,800.

Komen