Kerajaan, melalui Kementerian Komunikasi Digital dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dilaporkan sedang mengkaji langkah untuk meningkatkan hukuman dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang lebih dikenali sebagai Akta Sakit Hati.
Sewaktu Persidangan Dewan Rakyat pagi ini, Timbalan Menteri Komunikasi Dan Digital Teo Nie Ching telah menjawab persoalan daripada MP Alor Setar dan Paya Besar mengenai isu akaun media sosial palsu yang menyebarkan fitnah dan berita palsu, dan juga samada kerajaan akan melakukan sebarang pindaan terhadap Seksyen 233.
Menjawab soalan MP Alor Setar, Teo Nie Ching mengatakan bahawa pihak kerajaan melalui SKMM dilihat telah mengenalpasti sejumlah akaun-akaun palsu ini, dan menghantar butiran akaun-akaun tersebut ke pengelola platform ini untuk tindakan lanjut seperti pemadaman pos ataupun akaun secara terus.
Menjawab soalan MP Paya Besar pula, timbalan menteri tersebut menjawab bahawa pihak KKD dan juga SKMM sedang dalam pertimbangan untuk mungkin menambah lagi hukuman dibawah Seksyen 233 tersebut, dan juga untuk bekerjasama bersama dengan kementerian lain dengan memperkenalkan kempen-kempen kesedaran untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia tidak melampaui batas hak kebebasan bersuara di platform media sosial.
Mereka juga dilihat akan mencari jalan untuk bekerjasama dengan pengelola platform media sosial ini untuk mengawalselia aktiviti dengan lebih ketat lagi untuk mengekang penularan berita palsu dan juga perbualan yang boleh menyebabkan isu perkauman diantara rakyat Malaysia yang berbilang kaum.