Carian
Pengguna Samsung Galaxy S23 Dan S23+ Melaporkan Isu Pada Kamera
March 13, 2023 Effi Saharudin

Samsung Galaxy S23 dan S23+ baharu sahaja dilancarkan di Malaysia dengan ia tidak membawakan perubahan yang besar berbanding dua model tahun lalu. Perbezaan paling besar terletak pada panel belakang yang tidak lagi mempunyai bonggol kamera yang besar. Terkini muncul pelbagai laporan pemilik S23 dan S23+ menghadapi masalah pada kamera.

Kamera mengambil gambar yang tidak memfokus dengan betul pada sebilangan unit yang diterima oleh pengguna. Imej tidak tajam dengan hanya sebahagian gambar dapat difokus dengan baik. Rungutan dapat dibaca di Reddit, XDA Forum dan forum rasmi Samsung sendiri sejak peranti mula dijual.

Rata-rata pengguna yang mengalami isu ini berkata peranti adalah yang dikilangkan dari Vietnam. Masih tidak diketahui sama ini isu perkakasan atau perisian. Setakat ini kami belum melihat rungutan daripada pengguna di Malaysia dan juga tidak berlaku pada Galaxy S23 Ultra. Pihak Samsung masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu ini ketika artikel ditulis.

Komen