Brave meneruskan lagi usaha mereka untuk melindungi privasi dan menjamin sekuriti pengguna dengan kini memperkenalkan perkhidmatan VPN untuk desktop. Selama ini VPN oleh Brave hanya boleh digunakan pada iPhone, iPad dan peranti Android sahaja.

Brave Firewall + VPN ini hadir melalui pelayar web desktop versi 1.49. Menariknya, pelan VPN yang pengguna langgan adalah rentas-platform. Langganan pada iPhone boleh diteruskan pada desktop tanpa bayaran tambahan.

Langganan ini turut membolehkan pengguna menggunakan VPN ini pada lima peranti serentak. Menurut Brave, perkhidmatan Firewall + VPN mereka boleh menghalang iklan, penjejakan di setiap laman web dan turut melindungi pengguna walaupun menggunakan pelayar web lain atau aplikasi lain selain Brave.

Fungsi lain pada VPN ini adalah melindungi alamat IP pengguna, menukar lokasi, memastikan ISP tidak memantau pengguna serta boleh menstrim kandungan yang dihalang di negara sendiri. Perkhidmatan Brave Firewall + VPN untuk desktop ditawarkan secara berperingkat.
Tetapi jika inginkan akses pantas, langgan melalui telefon pintar dengan harga bermula RM44.90 sebulan atau RM439.90 setahun dan pergi ke account.brave.com untuk menguruskan langganan dan mula menggunakannya.