Cari @ Amanz

Dengan pelbagai pihak memfokuskan kepada kecerdasan buatan, kini Google perlihatkan mereka turut tidak ketinggalan, dan telah mengumumkan beberapa ciri baharu yang bakal hadir ke GMail dan Google Docs pada tahun ini.

Ciri yang diperlihatkan oleh Google ini adalah kebolehan penjanaan berasaskan kepada kecerdasan buatan pada dua produk utama mereka terlebih dahulu, iaitu pada GMail dan juga Google Docs.

Melaluinya, pengguna boleh melakukan draf penulisan emel atau sesuatu dokumen dengan menyertakan beberapa arahan ringkas sahaja.

Menariknya juga, pengguna boleh menggunakan sokongan kecerdasan buatan ini dengan menyuruh ia untuk meringkaskan sejumlah emel dan mendokumenkan perkara, termasuk melakukan analisa dan sebagainya.

Langkah-langkah ini dijangka akan memudahkan lagi tugasan harian pengguna, dan menjadikan sesuatu proses lebih pantas lagi. Melalui video yang dipertontonkan Google juga, mereka perlihatkan kebolehan untuk membuat fail pembentangan dengan bantuan kecerdasan buatan, termasuk menggunakan sokongan untuk menjana gambar bagi disertakan dalam pembentangan berkenaan.

Google mengatakan ini hanyalah permulaan integrasi kecerdasan buatan. Untuk fasa permulaan, ciri ini akan diperkenalkan kepada pengguna terpilih di Amerika Syarikat yang menggunakan bahasa Inggeris, sebelum ia diperluaskan ke negara-negara lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd