Pejam celik pejam celik kini hampir kesemua perkhidmatan yang digunakan mula mengintegrasikan kecerdasan buatan secara lebih menyeluruh. Beberapa bulan sahaja selepas ChatGPT diumumkan, ia kini digantikan pula oleh OpenAI dengan GPT-4 yang lebih pintar serta lebih kreatif seakan manusia sebenar. Pagi ini Duolingo Max telah dilancarkan dengan ia menawarkan pembelajaran bahasa baharu lebih mudah dibantu oleh GPT-4.

Duolingo Max akan menyatakan sebab mengapa jawapan yang diberikan pengguna tidak tepat dengan ia berbicara dengan pengguna seakan tutor manusia menerusi ciri Explain My Answer. Selain itu ia boleh diarahkan untuk berbual seperti manusia untuk pengguna berlatih bahasa bahasa baharu yang sedang dipelajari menerusi ciri Roleplay. Kesemua ini dilakukan oleh sistem chatbot GPT-4 yang terkini.
Duolingo Max boleh digunakan oleh pelanggan pada platform iOS sahaja yang ingin mempelajari bahasa Inggeris, Sepanyol dan Perancis. Ia akan dikembangkan ke platform dan bahasa lain dalam masa terdekat. Ia ditawarkan pada harga $29.99 sebulan atau $167.99 setahun yang lebih mahal berbanding langganan Super Duolingo ($6.99).