Dianggarkan lebih 90% kargo dunia dibawa menggunakan kapal kargo. Ia masih lagi mod pengangkutan dengan kos paling rendah walaupun mengambil masa yang lebih lama berbanding kapal terbang. Semasa pandemik, sekatan yang dikenakan oleh China menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan global. Dengan kos semakin meningkat, kapal kargo dengan kapasiti besar amat diperlukan.

China Shipbuilding Group Co., Ltd (CSSC) minggu ini mengumumkan kapal kargo MSC Irina telah dilancarkan dengan kapasiti 24,346 kontena TEU. Ini menjadikannya kapal kargo dengan kapasiti terbesar dunia memintas MSC Tessa dengan kapasiti 24,116 TEU hanya empat hari sebelumnya.
Walaupun mempunyai perbezaan 230 TEU, kedua-dua kapal kargo ini mempunyai saiz yang sama iaitu 399.9 meter panjang. Ini hampir sepanjang empat padang bola sepak. Walaupun bersaiz gergasi, teknologi terkini seperti sistem pelincir udara terkini membolehkan kapal beroperasi dengan penjimatan bahan api sehingga 4% berbanding kapal kargo generasi terdahulu.