Cari @ Amanz

Nothing Ear (2) Disahkan Melepasi Tahap Kalis Air IP54 Dan LHDC 5.0

Link Copied!

Nothing telah mengesahkan bahawa fon telinga nirwayar baharunya, Nothing Ear (2) bakal diumumkan pada 22 Mac akan datang. Terbaharu Ketua Pegawai Eksekutif Nothing, Carl Pei menerusi sesi temu ramah bersama Forbes mengatakan terdapat ciri yang premium bakal disediakan menerusi fon telinga baharu ini.

Beliau mengesahkan bahawa Nothing Ear (2) akan melepasi piawaian kalis debu dan air IP54 sepertimana yang terdapat pada Nothing Ear Stick sebelum ini. Selain daripada itu, Nothing Ear (2) juga disahkan menyokong LHDC 5.0 yang menawarkan penstriman audio Hi-Res untuk kualiti audio dalam definisi tinggi yang mantap. Ini adalah peningkatan yang menarik memandangkan dua fon telinga nirwayar Nothing sebelum ini hanya menyokong codec audio AAC.

Menurut ciapan terbaharu Nothing, fon telinga ini juga telah diuji pada lebih 120 telefon pintar dan komputer riba bagi memastikan kestabilan sistem yang lebih baik. Nothing juga akan menambahbaik fungsi bluetooth pada fon telinga ini untuk pengalaman sambungan yang lebih mudah dan lancar kelak.

Tiada maklumat lain mengenai spesifikasi didedahkan setakat ini. Namun Nothing dipercayai mengekalkan reka bentuk lut cahaya dan pemandu audio sebesar 11.6mm pada produk ini. Pada msa sama, ia mungkin didatangkan dengan ciri ANC terbina dan menawarkan ciri sambungan dwi-peranti serentak.


Komen ()