Realme C55 telah dilancarkan dengan ciri Mini Capsule seakan Dynamic Island pada peranti iPhone. Ia boleh ditemui muncul di bahagian atas skrin, lantas membolehkan beberapa informasi penting diakses dengan mudah. Ini termasuk makluman mengenai bateri, status pengecasan, penggunaan data masa nyata dan kiraan langkah harian. Hal ini juga sekaligus menjadikan Realme C55 antara peranti terawal yang menyokong teknologi tersebut dengan fokus kepada pengalaman peranti lebih mesra pengguna berbanding sebelum ini.

Berkongsi dengan lebih lanjut, Realme kini mengesahkan peranti tersebut bakal dilancarkan di Malaysia. Realitinya, ia bukanlah mengejutkan kerana peranti juga sebelum ini didapati telah melepasi pengesahan SIRIM di Malaysia. Apa yang menjadi persoalan ketika ini adalah tarikh pelancaran rasminya yang masih menjadi misteri. Tetapi kita boleh menyasarkan lebih banyak kandungan promosi yang akan datang sementara menunggu tarikh pelancaran rasminya.