Carian
Volkswagen Mahu Melabur 180 Bilion Euro Untuk Menjadikan Kenderaan Elektrik Lebih Mampu Milik
March 15, 2023 Nazrin

Industri kenderaan elektrik dilihat semakin berkembang saban tahun, tetapi tidak kira jenama automotif yang membangunkannya, kenderaan-kenderaan ini secara lazimnya hadir dengan tanda harga yang tidak begitu mesra dompet.

Terkini, ia dilaporkan bahawa Volkswagen mahu melabur 180 bilion Euro untuk membangunkan teknologi automotif elektrik yang membolehkan mereka untuk mengurangkan kos membangunkan kenderaan-kenderaan ini, yakni menurunkan tanda harga apabila ia keluar di pasaran.

Pelaburan ini, yang akan berlaku sepanjang lima tahun, akan melihat Volkswagen bukan sahaja membangunkan teknologi pemanduan MEB generasi kedua mereka, dan juga melaburkan sebanyak 15 bilion Euro untuk sumber bahan bateri kenderaan elektrik. Menurut Volkswagen, 40 peratus daripada kos pembangunan sebuah kenderaan elektrik dimakan oleh bateri kereta tersebut.

Pihak Volkswagen juga mengatakan bahawa mereka mahu cuba untuk membangunkan kenderaan-kenderaan elektrik pada harga yang lebih mampu-milik, pada harga sekitar 25 ribu Euro pada tahun 2025 kelak.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Kesatuan Eropah telahpun mengeluarkan mandat bahawa hanya kenderaan elektrik yang dibenarkan untuk dimiliki menjadi kenderaan peribadi bermula tahun 2035 kelak.

Komen