Antara perkara yang cuba dicari oleh saintis ialah bahan yang membolehkan arus melaluinya tanpa sebarang rintangan. Jika ia berjaya dijumpai, motor elektrik yang berfungsi pada kecekapan 100% dapat dihasilkan sekaligus mengelakkan pembaziran. Ini dapat dicapai menerusi pengguna bahan superkonduktor tetapi sebelum ini ia hanya dapat dicapai pada suhu bawah takat beku yang tidak praktikal.
Sekumpulan saintis dari University of Rochester telah menerbitkan kerja kajian yang mendakwa mereka menemukan bahan superkonduktor pada suhu hanya 21 darjah Celsius. Di kalangan ahli sains, sebarang bahan yang menunjukkan ciri superkonduktor pada suhu melebihi 0 darjah Celsius dikatakan beroperasi pada suhu bilik.
Penyelidik menghasilkan sebatian baharu yang diberi nama Reddmatter. Ia dihasilkan menerusi lutetium hidrat yang digabungkan dengan nitrogen. Walaupun beroperasi pada suhu bilik, Reddmatter memerlukan tekanan 145,000 psi atau bersamaan dengan 10,000 atmosfera.
Sebelum menunjukkan ciri superkonduktor, Reddmater berwarna biru sebelum bertukar merah pada suhu dan tekanan yang diperlukan. Kertas kajian penghasilan Reddmatter telah diterbitkan di dalam jurnal Nature tetapi penemuan ini disambut dengan skeptis oleh komuniti sains kerana dilihat sebagai mustahil. Ini tidak dibantu oleh pasukan yang sama sebelum ini melakukan dakwaan yang sama sebelum kertas kajian ditarik daripada Nature selepas ia gagal dibuktikan.
Superkonduktor suhu bilik boleh merubah peradaban manusia kerana membolehkan grid kuasa, kenderaan elektrik, kereta api MagLev dan tokamak yang tidak membazirkan sebarang tenaga input. Masa depan kuasa yang lestari serta bersih boleh menjadi kenyataan jika penemuan University of Rochester ini terbukti benar.