Hujung minggu lalu di Reddit dan Twitter topik mengenai aplikasi kamera Samsung yang didakwa memalsukan imej bulan kembali hangat. Ini bukan pertama kali isu ini dibangkitkan tetapi pernah muncul ketika S20 Ultra dilancarkan sebelum ini. Pengguna Reddit mendakwa Samsung menggantikan imej bulan pada gambar yang menggunakan mod zum dengan gambar bulan palsu yang disimpan di dalam aplikasi.

Samsung telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai dakwaan yang kini tular di media sosial. Menurut mereka aplikasi kamera Samsung menggunakan sistem Super Resolution yang meningkatkan resolusi imej asah menggunakan kecerdasan buatan. Sehingga 10 gambar akan diambil oleh aplikasi kamera sebelum digabungkan menjadi satu imej bulan yang tajam dan jelas kelihatan. Menerusi teknik ini, gambar yang kabur serta tidak tajam akan dapat dielakkan.

Turut disentuh ialah bagaimana keterangan bulan dapat diubah bagi menghasilkan imej yang lebih elok. Bagi pengguna yang tidak mahu gambar yang diambil oleh mereka diproses oleh kecerdasan pintar, Samsung menyasarkan ciri Scene Optimiser dimatikan menerusi tetapan kamera. Dengan ini kesemua gambar yang ditangkap akan kelihatan seperti keadaan sebenar tanpa sebarang pasca proses yang kini digunakan pada kesemua aplikasi kamera pengeluar utama.
Penerangan yang dikeluarkan semalam sebenarnya telah diterbitkan oleh Samsung sebelum ini tetapi hanya dalam Bahasa Korea. Dengan ia kini boleh dibaca dalam Bahasa Inggeris, persoalan mengenai palsu ataupun tidak akan terjawab.