Cari @ Amanz

Valuing IP Memperkenalkan Platform Digital Untuk Memudahkan Penilaian Harta Intelek

Oleh Nazrin

Link Copied!

Apabila bercakap mengenai nilai sesebuah syarikat, secara lazimnya perkara-perkara yang diambil-kira adalah seperti jumlah pekerja sesebuah syarikat tersebut, jumlah pengguna, jumlah pendapatan bulanan/tahunan dan juga aset-aset fizikal sesebuah syarikat tersebut.

#image_title

Harta intelek jarang diperkatakan kerana kesukaran untuk memberikan nilai yang tepat sebagai sebuah aset tidak nyata. Secara lazimnya, untuk memberi nilai kepada harta-harta intelek, laporan penilaian harta intelek perlu dibuat, dan ini biasanya akan memakan masa yang lama dan juga jumlah wang yang banyak.

Valuing IP, sebuah syarikat startup penilai harta intelek hari ini telah memperkenalkan platform penilaian harta intelek digital mereka, sebuah platform perisian-sebagai-perkhidmatan yang membolehkan syarikat-syarikat kecil dan besar, dari usahawan kecil dan sederhana ke syarikat startup, korporat dan juga konglomerat untuk mendapatkan laporan penilaian harta intelek pada kadar yang cepat dan juga lebih mampu milik.

#image_title

Dengan perisian Valuing IP ini, laporan penilaian yang secara lazimnya mengambil masa sekitar 3-4 minggu untuk disiapkan boleh dilakukan dalam masa 3-4 hari sahaja dengan butiran-butiran yang mencukupi. Dan daripada membayar jumlah RM35 ribu ke RM100 ribu untuk laporan tersebut, dengan harga langganan sekitar RM6000 sebulan untuk peringkat langganan paling mampu milik.

Dalam pada itu, perisian ini juga sudahpun disahkan mematuhi piawaian International Valuation Standards Council (IVSC), International Financial Reporting Standards (IFRS) dan International Accounting Standards Board (IASB) yang memastikan bahawa laporan kewangan yang dikeluarkan adalah sahih dan tepat berdasarkan piawaian-piawaian ini.

#image_title

Kepentingan menilai hak intelek sesebuah syarikat bukan sahaja terhad sebagai sebuah cara untuk mendapatkan pembiayaan kewangan, tetapi juga sebagai satu cara untuk mendapatkan kelebihan dalam pelbagai jenis transaksi yang lain seperti mendapatkan nilai yang lebih tinggi sewaktu pengambilalihan, pencairan aset, percukaian dan sebagainya.

Lebih hebat lagi, sebagai syarikat yang dimulakan dan berpengkalan di Malaysia, perkhidmatan Valuing IP ini boleh dimanfaatkan oleh bukan sahaja syarikat-syarikat Malaysia, tetapi juga di rantau ASEAN, seperti Singapura, Indonesia, Vietnam dan sudahpun dalam perbincangan untuk memasuki pasaran Taiwan, Jepun dan India.

#image_title

Perisian Valuing IP ini akan diperkenalkan tidak lama lagi, dan melaluinya, ia dijangka bahawa pelbagai syarikat kecil dan besar akan tampil untuk memperlihatkan nilai sebenar harta intelek mereka, dan tidak lagi dibelenggu isu pembiayaan yang tidak mencukupi untuk usaha mereka.


Komen ()