Cari @ Amanz

Bulan lepas telah kami laporkan mengenai rekaan Motorola Razr 2023 yang tertiris. Peranti ini dikatakan akan hadir dengan skrin luar lebih besar dan memakan hampir kesemua ruang panel belakang bahagian atas dengan dua lubang kamera.

Tubuh dikatakan masih sama dan skrin luar lebih besar ini besar kemungkinan membenarkan pengguna menggunakan peranti tanpa membuka lipatan.

MySmartPrice baru-baru ini mendedahkan yang peranti skrin boleh lipat Motorola yang akan bersaing dengan Samsung Galax Z Flip dan Oppo N2 Flip akan menggunakan nama Motorola Razr+ 2023.

Menjadikan peranti ini lebih menarik adalah sumber mendakwa kamera swafoto akan menggunakan teknologi kamera bawah skrin. Jika benar ini akan memberi pengguna lebih ruang untuk berinteraksi dan Razr+ 2023 akan menjadi peranti skrin boleh lipat “clamshell” pertama yang menggunakan teknologi mirip pada Samsung Galaxy Z Fold3 dan Fold4.

Apa yang masih tidak pasti adalah adakah Motorola akan menjual peranti ini hanya di China atau turut akan menawarkannya ke pasaran global. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd