Eksplorasi di angkasa kini semakin berkembang sehinggakan yang bukan angkasawan pun sudah boleh pergi ke angkasa. Banyak syarikat turut cuba menyasarkan pelancongan ke angkasa dan membina penempatan di sana.
Terkini saintis dari University of Manchester telah berjaya menghasilkan konkrit untuk membina bangunan di angkasa. Konkrit ini diberi nama sebagai StarCrete dan apa yang menarik adalah bahan binaan yang menggunakan kentang dan garam.

StarCrete dikatakan sesuai untuk dijadikan sebagai bahan dalam pembinaan. Selain daripada kentang dan garam, saintis turut menggunakan debu angkasa. Debu ini dikatakan adalah ciptaan sendiri sebagai simulasi debu sebenar di planet Marikh.
Konkrit istimewa ini turut dikatakan dua kali lebih kuat berbanding yang tradisional. Biasanya konkrit hanya mempunyai ketahanan 32 Megapascal (MPa), tetapi StarCrete mempunyai ketahanan lebih dua kali ganda iaitu 72 MPa. Sementara StarCrete dengan campuran debu bulan mempunyai ketahanan sehingga hampir tiga kali ganda iaitu 91 MPa.

Menurut saintis yang menghasilkan konkrit ini, kentang dipilih kerana kandungan kanji yang boleh menjadi bahan pengikat antara debu angkasa dan campuran bahan-bahan ini adalah mirip konkrit biasa. Tambahan mereka lagi, satu guni kentang kering dengan berat 25 kg cukup untuk menghasilkan 213 batu-bata StarCrete. Bangunan dengan tiga bilik memerlukan anggaran 7500 unit. bermakna sekitar 35 guni sahaja sudah mencukupi.

Buat masa ini StarCrete masih lagi dalam fasa ujian. Tetapi fasa seterusnya adalah mencuba menggunakannya untuk membina bangunan. Jika semuanya berjaya, StarCrete ada potensi untuk digunakan sebagai bahan utama membina bangunan di planet Marikh.