Carian
Baidu Tampil Dengan ERNIE Bot Sebagai Pesaing Kepada ChatGPT
March 20, 2023 Effi Saharudin

Pelancaran ChatGPT oleh OpenAI membawakan perubahan mendadak pada pelbagai produk dan aplikasi sedia ada. Dalam masa kurang tiga bulan, ia kini telah digantikan pula oleh GPT-4 dengan integrasi pada Microsoft Office, LinkedIn dan Duolingo telahpun dilakukan. Kejayaan OpenAI memaksa Google, dan Meta melancarkan kecerdasan buatan mereka secara tergesa-gesa.

Seperti diuar-uarkan pada Januari lalu, Baidu melancarkan kecerdasan buatan ERNIE Bot mereka yang berasaskan ERNIE (Enhanced Representation through Knowledge Integration) yang dibangunkan oleh mereka sejak sedekad yang lalu. Menurut CEO Beidu Robin Li, kemampuan ERNIE Bot adalah setanding dengan GPT-4. Ia mempunyai 550 bilion titik data yang digunakan untuk memberikan jawapan yang tepat kepada soalan yang diberikan oleh pengguna.

Kerana ERNIE Bot dilancarkan untuk pasaran China, ia mempunyai kemampuan memahami beberapa dialek yang digunakan di dalam negara. Seperti ChatGPT, ERNIE Bot boleh melakukan ringkasan mengenai buku dan memberikan saranan idea. Sungguhpun telah diumumkan, Baidu berkata ERNIE Bot belum sedia diberikan kepada umum.

Setakat ini lebih 600 syarikat telah menunjukkan minat untuk menggunakannya dalam ujian tertutup. Integrasi ERNIE Bot pada produk Baidu kini sedang diuji oleh syarikat yang menerima jemputan. Kerajaan China sedang merangkum rang undang-udang mengenai penggunaan kecerdasan buatan dan ini mungkin mendorong Baidu untuk melancarkan ERNIE Bot pada skala kecil terlebih dahulu.

Komen