Dalam pandang pertama yang kami terbitkan sebelum ini, kami mengatakan Samsung Galaxy A54 sebenarnya lebih layak diberi nama Samsung Galaxy S23 Lite. Ia mempunyai pelbagai ciri menarik seperti pada siri S23 tetapi ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik. Selepas mengulas A54 selama seminggu, kami merasakan ia adalah yang amat berbaloi untuk harga yang dibayar oleh pembeli. Kenapa kami katakan begini? Baca ulasan penuh di bawah.
SPESIFIKASI
Samsung Galaxy A54 | |
---|---|
Skrin | 6.8″ Super AMOLED, FHD+, 120Hz |
Pemproses | Exynos 1380 (5nm) |
Cip | 4 X 2.4 GHz Cortex A78 4 X 2.0 GHz Cortex A55 |
Cip Grafik | Mali-G68 MP5 |
RAM | 8GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 256GB UFS 3.1 Mikro SD 1TB |
Kamera Utama | 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 5MP f/2.4, (Makro) |
Kamera Swafoto | 32 Megapixel f/2.2 |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 25W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP67 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin optikal |
Harga Jualan | RM 1899 (8/256GB) |
SKRIN
Skrin 6.4″ adalah dari keluarga Super AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz. Namun begitu ia bukan dari keluarga LTPO. Pengguna diberikan pilihan kadar segar semula Adaptive 120Hz sepanjang masa atau Standard 60Hz. Dari segi saiz ia lebih besar berbanding S23 (6.1″) dan S23+ (6.6″). Skrin memaparkan imej yang tajam, tatalan yang sangat lancar serta mengesan setiap sentuhan dengan baik. Seperti lazimnya, skrin SAMOLED memaparkan warna yang cukup hidup dan boleh digunakan di bawah cahaya matahari yang terang.

Menurut Samsung, keterangan skrin boleh mencecah 1000 nits. Tidak setinggi 1750 nits pada siri S23 Ultra tetapi ia masih lebih tinggi berbanding skrin biasa. Kandungan HDR boleh ditonton tetapi pada waktu ini terhad kepada YouTube dan Prime sahaja. Tiada sokongan rasmi untuk Netflix pada waktu ini. Bagi kami ini adalah mengecewakan kerana banyak peranti kelas pertengahan lain seperti daripada Xiaomi boleh menyokong HDR pada Netflix.

Bezel adalah agak tebal tetapi tidak mengganggu dengan ianya sekata pada keempat-empat sudut. Kami cukup sukakan skrin rata yang digunakan kerana ia tidak mengganggu tontonan video atau menggunakan aplikasi lain.
Terdapat sebuah pengimbas cap jari dari jenis optikal terbina di bawah skrin. Lokasinya ergonomik dan mudah untuk diakses walaupun peranti digunakan sebelah tangan. Pengimbas ini pantas mengesan cap jari dan sepanjang penggunaan selama beberapa hari tidak pernah lagi gagal berfungsi. Sokongan imbasan wajah juga boleh digunakan sekiranya pengguna ingin sistem biometri yang lain.

Bagi mereka yang mempunyai masalah rabun warna, skrin ini boleh ditala supaya mereka boleh memaparkan warna yang tidak boleh dilihat dengan mudah. Di dalam tetapan Colour Correction, terdapat mod untuk rabun warna Deutan, Protan, Tritan dan Greyscale.
REKAAN
Rekaan tubuh seperti yang kami katakan beberapa perenggan di atas amat mirip dengan S23. Perbezaan hanyalah sisi A54 masih lagi bulat dan tidak rata. Secara peribadi kami lebih sukakan rekaan S23 kerana permukaan rata membuatkan peranti terasa lebih rapi di dalam tangan.

Bingkai logam dipadankan dengan panel kaca di belakang dan hadapan. Butang kuasa dan laras audio terletak pada sisi kanan. Ianya tegap dan sedap ditekan tanpa isu terasa longgar atau seperti murahan. Di bahagian bawah terdapat satu kekisi audio, dan lubang untuk mikrofon. Sedikit aneh talam SIM kini diletakkan di bahagian atas. Talam SIM ini adalah dari jenis hibrid dengan dua slot SIM nano dan satu slot kad mikro SD. Jika kad mikro SD ingin digunakan, hanya satu SIM nano disokong.
Peranti masih lagi selesa di dalam tangan kerana dengan saiz skrin 6.4″, A54 adalah sebuah peranti yang agak kecil jika dibandingkan dengan peranti lain yang mempunyai skrin melangkaui 6.6″ sekarang. Panel belakang mempunyai panel kaca yang licin dan oleh itu memerangkap kotoran dengan cukup mudah. Seperkara lagi ialah panel ini menyebabkan peranti mudah terjatuh dari atas meja, sofa dan dalam kereta. Kami letakkan ia di atas sofa dan jika ada sedikit kecerunan peranti akan menggelongsor jatuh. Belilah kerangka dengan segara jika ingin mengelakkan kerosakan kerana Samsung tidak memberi kerangka percuma dengan setiap pembelian.

Terdapat tiga bonggol untuk lensa kamera yang sekata saiznya. Rekaan Floating Camera pada siri S23 kini turut digunapakai pada siri A54 anda A35. Ini ialah proses penyeragaman yang dilakukan oleh Samsung tahun ini. Bonggol kamera walaupun tidak besar masih mengakibatkan peranti terjungkit apabila diletakkan di atas meja.

Sistem kamera utama menggabungkan sensor 50MP sudut lebar, 12MP ultra sudut lebar dan 5MP makro. Hanya lensa 50MP dilengkapi dengan sistem OIS. Sementara itu di bahagian hadapan sensor 32MP digunakan dengan ia diletakkan dalam lubang kamera pada skrin.

Dari sudut audio pula, terdapat sokongan stereo dan juga sistem audio Dolby Atmos. Sebuah lagi speaker diletakkan pada bahagian gagang telinga. Seperkara lain yang menarik pada A54 ialah ia melepasi piawaian kalis air serta debu IP67. Tidak sebaik IP68 pada S23 tetapi adalah cukup baik untuk sebuah peranti kelas pertengahan kerana boleh dicelup di dalam air selama beberapa minit.
PRESTASI EXYNOS 1380
Cip Exynos 1380 yang digunakan adalah sebuah cip lapan teras dengan konfigurasi 4x Cortex-A78 kuasa tinggi dan 4x Cortex-A55 yang dipadankan dengan GPU Mali-G68 MP5. Ia dihasilkan menggunakan teknologi 5nm. Oleh itu ia adalah di dalam kelas yang sama dengan Snapdragon 778G+. Ini adalah cip baharu dengan hanya A54 sahaja peranti yang menggunakannya setakat ini.

Cip ini dipadankan dengan memori sehingga 8GB RAM LPDDR4X dan storan sehingga 256GB UFS 3.1. Memori boleh ditambah sehingga 6GB secara maya menggunakan ciri RAM Plus. Model yang diterima kami dilengkapi memori 6GB dan storan 128GB. Berikut adalah markah yang dicatatkan oleh Exynos 1380 menggunakan tiga penanda aras popular.
Markah yang dicatatkan kini pula dibandingkan dengan Samsung Galaxy A52S (Snapdragon 778G), Oppo Reno8T 5G (Snapdragon 695) dan Poco X5 Pro 5G (Snapdragon 778G).
Geekbench 6
- Samsung Galaxy A54 – 755/2663
- Samsung Galaxy A52S – 1010/2610
- Oppo Reno8 T 5G – 686 / 2004
- Poco X5 Pro 5G – 781 / 2892
Antutu 3D
- Samsung Galaxy A54 – 502,442
- Samsung Galaxy A52S – 506,621
- Oppo Reno8 T 5G – 373,259
- Poco X5 Pro 5G – 529,942

Prestasi penggunaan aplikasi biasa adalah baik lebih-lebih lagi sekiranya kadar segar semula 120Hz dipilih. Aplikasi media sosial, YouTube, pelayar web dan permua 2D semuanya dapat dijalankan dengan lancar walaupun Eyxnos 1380 bukanlah cip yang popular. Tiada sebarang isu memasang aplikasi menerusi Play Store atau Galaxy Store. Tiada isu aplikasi terganggu sepanjang tempoh ulasan.
Prestasi permua juga memuaskan dengan COD Mobile, Asphalt 9 dan PUBG Mobile boleh dimainkan pada tetapan yang tinggi. Namun begitu kami sarankan memilih tetapan sederhana tinggi sahaja kerana kami menyedari dalam COD Mobile misalnya jika peta multiplayer dengan jumlah pemain yang tinggi dipilih, kadar bingkai dapat dilihat terjejas.
A54 juga boleh memanas selepas beberapa pusing MP dalam COD Mobile. Exynos 1380 menjadi lebih panas lebih pantas berbanding Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy yang digunakan S23 Ultra. Secara keseluruhan prestasi cip adalah memuaskan untuk sebuah peranti kelas pertengahan.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN
Sistem operasi One UI 5.1 digunakan pada dengan ia berasaskan Android 13. Ini ialah versi terkini One UI yang turut digunakan pada siri S23. Dari segi ciri tiada perbezaan yang ketara dapat dilihat pada A54 dan S23. Kerana ia berasaskan Android 13, terdapat ciri mengubah warna tema antaramuka secara automatik berdasarkan imej latar belakang yang digunakan. Turut disertakan ialah kustomasi skrin kunci yang lebih menyeluruh.

Sepanjang tempoh ulasan kami aktifkan mod RAM Plus dengan tetapan 4GB menjadikan peranti mempunyai 10GB RAM sepanjang masa. Peranti beroperasi dengan cukup lancar dengan aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas. Walaupun cip Exynos 1380 masih lagi baharu, kami tidak mengalami sebarang isu aplikasi utama tidak disokong. Maka tidak perlu risau aplikasi tidak boleh dipasang seperti yang wujud pada sesetengah peranti dengan cip MediaTek.
Tatalan terasa lancar kerana skrin 120Hz. Tiada isu animasi nampak perlahan dan tiada juga sebarang masalah pemanasan setakat ini. Boleh kami katakan setakat ini A54 beroperasi dengan lebih lancar berbanding Galaxy A73 5G yang kami ulas tahun lalu yang dilengkapi cip Snapdragon 778G.

Pengalaman penggunaan adalah mirip dengan S23 Ultra yang mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi serta mercu. Bagi mereka yang mencari peranti yang boleh digunakan untuk masa yang lama, A54 disahkan menerima kemas kini empat versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun.

Berikut ialah beberapa ciri menarik pada Samsung Galaxy S54.
- Edge Panels – Panel sisi untuk aplikasi, kompas, Smart Select dan banyak lagi.
- RAM Plus – Penambahan RAM secara maya sehingga 6GB.
- Edge Lighting – Lampu pada skrin apabila menerima notifikasi.
- AOD – Paparan aktif walaupun ketika skrin dimatikan.
- Easy Mode – Antaramuka mesra warga emas.
- Secure Folder – Menyimpan fail dalam bekas yang dikunci dengan kata laluan/cap jari.
- Live Captions – Sari kata masa nyata.
- Link To Windows – Menggunakan peranti terus pada komputer Windows.
- Modes – Tetapan peranti bergantung pada lokasi dan masa.
- Colour Correction – Mengubah paparan skrin untuk pengguna rabun warna.
KAMERA
Berikut ialah beberapa gambar yang sempat kami ambil menggunakan kamera utama 50MP sudut lebar, 12MP ultra sudut lebar, 5MP makro dan kamera swafoto 32MP. Lensa sudut lebar 50MP dilengkapi sistem OIS. Dari segi prestasi, kamera boleh melakukan rakaman video sehingga resolusi 4K 30FPS. Terdapat ciri Makro, AR, Potret, Panorama, Pro Video, Pro dan Hyperlapse. Mod Nightography untuk mengambil gambar pada waktu malam turut boleh digunakan.
Tiada perbezaan warna apabila bertukar dari lensa sudut lebar ke ultra sudut lebar. Mengejutkan kerana pada S23 Ultra terdapat perbezaan warna yang ketara. Kami menyedari masa diambil untuk bertukar antara lensa dan zum adalah tidak begitu pantas. Ini adalah isu pada peranti kelas pertengahan Android. Jika kepantasan yang anda cari, belilah sebuah peranti mercu.






Kamera menyokong mod zum digital sehingga 10 kali sahaja. Di bawah ialah sampel gambar yang diambil pada tetapan 1X, 2X, 4X dan 10X.




BATERI
Bateri 5000 mAh yang digunakan mengecas pada kuasa maksimum 25W. Dari segi kapasiti ia sama besar dengan S23 Ultra cuma dengan kuasa pengecas yang lebih rendah (25W vs 45W). Pengecasan adalah secara berwayar menggunakan port USB-C sahaja disokong. Pengecas tidak disertakan dengan setiap pembelian.

Prestasi bateri adalah agak baik kerana boleh bertahan sehingga 9 jam SOT dan beroperasi sehingga 19 jam dalam penggunaan yang sederhana. SOT turun ke sekitar 7 jam dan operasi sehingga 12 jam dalam penggunaan yang lebih intensif.
Kerana pengecas hanya 25W, tempoh mengecas semula adalah 90 minit. Pada tahun 2023 Samsung masih berdegil menawarkan pengecasan yang tidak lagi layak dipanggil pantas. Pengeluar lain seperti Xiaomi sudah menawarkan pengecasan 120W pada peranti kelas pertengahan mereka. Jika Samsung ingin kekal berdaya saing, tiba masanya untuk menawarkan pengecasan yang jauh lebih pantas.
AUDIO
Speaker stereo yang disertakan tidak simetri. Di bawah ia menembak ke sisi dan di atas pula ia menembak ke depan. Ini menyebabkan speaker pada bahagian bawah adalah lebih lantang. Pada tetapan audio paling lantang sekalipun muzik yang didengari adalah jelas. Dengan sokongan Dolby Atmos, kualiti audio juga amat memuaskan tanpa terasa mendatar atau kosong.

PESAING
Samsung Galaxy A54 | Poco X5 Pro | Nothing Phone (1) |
6.4″ SAMOLED, 1080 x 2412, 120Hz, (395 PPI), HDR10+ | 6.67″ SAMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, (395 PPI), Dolby Vision | 6.55″ OLED, 1080 x 2400, 120Hz, (402 PPI), HDR10+ |
Exynos 1380 (5nm) 4 X 2.4 GHz Cortex-A78 4 X 2.0 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 778G (6nm) 4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold 4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver | Snapdragon 778G+ (6nm) 1 X 2.5 GHz Kryo 670 Gold 3 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold 4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver |
Mali-G68 MP5 | Adreno 642L | Adreno 642L |
6/8 GB | 6/8 GB | 8/12 GB |
128/256 GB UFS 3.1 (Mikro SD 1TB) | 128/256 GB UFS 2.2 | 128/256 GB UFS 3.1 (Mikro SD 1TB) |
Kamera Utama 50MP f/1.8 (Sudut lebar) 12MP f/2.2 (Ultra sudut lebar) 5MP f/2.4 (Makro) | Kamera Utama 108+8+2 Megapixel (f/1.9+f/2.2+f/2.4) | Kamera Utama 50MP f/1.9 (Sudut lebar) 50MP f/2.2 (Ultra sudut lebar) |
Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.4 | Kamera Hadapan 20-MP f/2.2 | Kamera Hadapan 16-MP f/2.5 |
IP67 | Tidak kalis air | IP53 |
Tiada bicu audio | Bicu audio 3.5mm | Tiada Bicu Audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5000 mAh (Berwayar 25W) | 5000 mAh (Berwayar 67W) | 4500 mAh (Berwayar 33W) |
RM1899 (8/256GB) | RM1299 (6/128GB) RM1499 (8/256GB) | RM2399 (8/128GB) RM2699 (12/256GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Samsung Galaxy A54.
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
Samsung Galaxy A54 ialah sebuah peranti kelas pertengahan yang cukup menarik kerana mempunyai skrin yang mantap, pemproses kelas pertengahan yang berkuasa, kamera yang tidak mengecewakan, perisian penuh ciri, bateri berkapasiti besar dan sokongan empat versi Android. Oleh itu kami rasakan ia sepatutnya lebih serasi jika ia menggunakan nama Samsung Galaxy S23 Lite kerana mempunyai beberapa ciri yang setanding.

Rekaan sudah hampir sama dengan kemampuan kalis air IP67. Ia turut masih membawakan sokongan kad mikro SD yang semakin terancam pada peranti kelas ini. Melihat kepada keseluruhan pakej, Samsung Galaxy A54 adalah berbaloi kerana dijual pada harga RM1899 yang masih mampu milik. Dalam kelas yang sama Honor 70 5G (RM1999) dan Nothing Phone (1) (RM2399) dijual pada harga lebih tinggi.
Pro
- Rekaan tubuh kompak sedap di dalam tangan.
- Kamera utama 50MP dengan OIS.
- Kalis air IP67.
- Kemas kini empat versi Android dan sekuriti lima tahun.
- Bateri 5000 mAh yang besar.
Kontra
- Pengecasan hanya 25W.
- Tiada pengecas dalam kotak.
- Tiada aksesori lain dalam kotak kecuali kabel pengecas.

Anda juga boleh menggunakan kod khas AMGA34545G bagi mendapatkan aksesori 35W PD Power Adapter Duo yang bernilai RM 99 secara percuma apabila membeli Galaxy A34 | A54 di laman rasmi Samsung.
- Info
- Beli: Samsung Galaxy A54 5G