Cari @ Amanz

Jabra hari ini telah melancarkan TWS baharu mereka iaitu Jabra Elite 4. TWS kali ini masih lagi di dalam kategori kelas pertengahan dan bukannya kelas mercu. Tetapi Elite 4 dipadatkan dengan banyak ciri dan fungsi seakan TWS mercu mereka.

Jabra Elite 4 hadir dengan pemacu audio 6mm dan turut dipadankan dengan 4 mikrofon MEM. Jabra turut membawakan ciri mercu mod tembus bunyi HearThrough mereka bersama dengan sokongan pembatalan bunyi hingar.

Elite 4 turut menyokong codec Qualcomm aptX dan SBC. Cip Bluetooth yang digunakan adalah Bluetoooth 5.2 dan menyokong sambungan sehingga ke enam peranti. TWS ini turut hadir dengan perlindungan IP55, tambatan pantas Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair serta sokongan Spotify Tap untuk kawalan lebih pantas.

Bateri pada TWS ini boleh bertahan sehingga 7 jam untuk penggunaan secara berterusan dengan ketahanan mencapai 28 jam bersama kerangka pengecasan. Sokongan pengecasan pantas turut disertakan dengan 10 minit cas untuk penggunaan 1 jam. Kawalan dan tetapan Elite 4 boleh dilakukan dengan aplikasi Jabra Sound+.

Untuk keselesaan pengguna, Jabra menggunakan putik telinga silikon jenis lembut. Elite 4 turut boleh membenarkan pengguna untuk menggunakan satu fon telinga sahaja. Dari segi rekaan ia dilihat mirip dengan Jabra Elite 5 yang dilancarkan tahun lepas yang turut menawarkan pengalaman mercu pada harga yang lebih mampu.

Di Malaysia, Jabra Elite 4 dijual pada harga RM549. Terdapat empat pilihan warna boleh dipilih iaitu hitam, biru, ungu atau beige.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd