Data peribadi rakyat Malaysia yang kami laporkan tertiris beberapa kali sebelum ini telah dijual menerusi laman BreachForum. Kami tidak berkongsi maklumat mengenai laman ini atas sebab keselamatan tetapi kami boleh melaporkannya sekarang kerana ia akan ditutup.

Penutupan dilakukan selepas pengendali laman yang menggunakan nama samaran “Pompompurin” telah ditangkap oleh pihak FBI beberapa hari yang lalu. Dengan data laman dan pengguna dipercayai telag diakses oleh pihak berkuasa, laman akan ditutup menurut mesej yang dihantar oleh pengendali baharu yang menggunakan nama samaran “Baphomet”.
Pada asalnya Baphomet ingin memindahkan data ke sebuah laman baharu tetapi menyedari data diakses oleh pihak ketiga yang tidak dikenali. Beliau mengesyaki ia diakses oleh pihak berkuasa membuatkan operasi laman tidak lagi selamat.