Jika anda mengikuti perkembangan dunia komponen komputer, Raja Koduri pastinya satu nama yang terkenal khusunya dalam industri kad grafik komputer. Beliau membangunkan bahagian kad grafik di AMD dan kemudiannya berpindah ke Intel untuk melakukan perkara yang sama.

Dibawah naungan beliau sebagai Naib Presiden Eksekutif dan Chief Architect di Intel, syarikat tersebut telah bukan sahaja membangunkan pelan hala tuju untuk tiga tahun berikutnya dengan pengenalan Intel Arc Alchemist, Battlemage dan Celestial, kad grafik pertama syarikat tersebut juga telah dilancarkan pada awal tahun lepas.
Sama seperti apa yang berlaku di AMD apabila siri kad grafik AMD Radeon Vega dilancarkan, beliau nampaknya sudah disahkan akan meninggalkan Intel selepas kerjanya selesai membangunkan pasukan komponen grafik di syarikat tersebut.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Pat Gelsinger, CEO Intel melalui sebuah ciapan yang mengucapkan selamat jalan kepada Raja Koduri yang akan meninggalkan Intel pada hujung bulan ini.
Pat Gelsinger juga mengucapkan selamat maju jaya kepada usahanya untuk membangunkan sebuah syarikat perisian baru yang berpaksikan kecerdasan buatan, gaming dan juga media hiburan yang lain.