Siri komputer kerdil Jetson keluaran NVIDIA secara lazimnya digunakan untuk memudahkan pemasangan sistem kecerdasan buatan dalam pelbagai jenis produk seperti robot, dron, kamera dan sebagainya dan hadir dalam rekaan yang padat walaupun ia merumahkan komponen perkomputeran yang berkuasa.
Jetson Orin Nano ialah produk terbaru NVIDIA dalam siri ini, dan kini ia kelihatan seperti sebuah papan litar Raspberry Pi, tetapi merumahkan komponen-komponen dalaman yang dinaiktarafkan berbanding dengan komputer Jetson Orin yang diperkenalkan sebelum ini.
Orin Nano dilihat menggunakan cip pemprosesan grafik Ampere dengan 1024 teras CUDA berbanding dengan 128 teras CUDA pada cip pemprosesan Maxwell yang digunakan pada model sebelum ini.
Penggunaan cip Ampere dilihat memberikan peningkatan prestasi kecerdasan buatan sebanyak 80 kali apabila Jetson Orin Nano dibandingkan dengan model sebelumnya, khususnya apabila model baru ini juga hadir dengan 32 teras Tensor.
Komponen-komponen lain yang dirumahkan didalam komputer ini termasuklah 8GB memori LPDDR5, sokongan untuk storan mikroSD dan juga SSD NVMe M.2, dan penggunaan kuasa yang lebih rendah pada 7W sehingga 15W.
Dari segi sokongan palam, Jetson Orin Nano dilengkapi dengan empat palam USB 3.2, palam Gigabit Ethernet, palam DisplayPort 1.2 dan sokongan untuk sambungan WiFi 802.11ac.
NVIDIA mengesahkan bahawa komputer Jetson Orin Nano ini sudah boleh dipra-tempah di pasaran-pasaran terpilih pada harga $499 dan akan dilancarkan pada bulan April 2023 ini.