Snapdragon 7+ Gen 2 telah dilancarkan sebagai cip pemprosesan 5G baharu berteknologi 4nm dengan prestasi mencapai 50% lebih baik. Melaluinya ia dihasilkan oleh TSMC bukannya teknologi Samsung seumpama Snapdragon 7 Gen 1 sebelum ini.
Berkongsi lebih lanjut, Redmi adalah antara pengeluar terawal yang disahkan bakal hadir dengan peranti bersama cip pemprosesan tersebut. Ia akan digunakan pada Redmi Note 12 Turbo yang dijadualkan diumumkan secara rasmi pada 28 Mac akan datang. Dengan ini, peranti kelak akan dilancarkan sebagai sebuah lagi peranti kelas pertengahan baharu dengan rangkaian 5G terbina.
Pada masa sama, reka bentuk peranti juga telah didedahkan dengan sistem tri-kamera di belakang yang memuatkan sensor utama 64MP. Ini dipadankan pula dengan kemasan seakan batu marmar (marble) yang menarik, di samping turut memuatkan bicu audio 3.5mm bagi memudahkan pengguna yang masih bergantung dengan fon telinga jenis berwayar.
Jangkaan awal mendapati peranti juga mungkin dilengkapi skrin OLED sejenis rata sebesar 6.7-inci dan kadar segar semula 120Hz. Bateri pula sebesar 5000mAh dengan pengecasan pantas 67W. Selain turut menyediakan pilihan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman 256GB terbina. Spekulasi juga menjangkakan peranti mungkin dijenama semula sebagai Poco F5 untuk pasaran luar.