Adakah kerjaya sebagai penulis akan pupus seperti burung Dodo? Jawapannya pada waktu ini ialah kebarangkaliannya sangat tinggi sejak pelbagai kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT mula digunakan. Ubisoft semalam mengumumkan mereka telah mula menggunakan AI Ubisoft Ghostwriter untuk menulis dialog watak NPC dalam permainan video yang dibangunkan mereka.
Ubisoft Ghostwriter digunakan untuk menghasilkan draf awal dialog watak NPC dengan watak yang dikawal oleh pemain. Menurut Ubisoft, dialog yang lebih realistik dapat dihasilkan dengan bantuan Ghostwriter dan menjimatkan masa penulis daripada melakukan perkara yang sama berulang kali. Tumpuan untuk menghasilkan dialog dan skrip lebih baik untuk penceritaan watak utama boleh diberikan oleh penulis manusia selepas ini.
Apabila input dialog dimasukkan oleh penulis manusia, Ghostwrite akan memberikan beberapa sarana dialog yang sesuai digunakan. Terdapat beberapa pilihan dialog yang kemudiannya dipilih oleh manusia dan boleh disunting untuk diperhalusi.
Kecerdasan buatan ini dibangunkan sendiri oleh Ubisoft La Forge dengan bantuan penulis yang bertugas dalam syarikat. Walaupun Ghostwriter dicipta untuk membantu kerja penulis, Ubisoft kini dituduh mengambil jalan pemalas yang singkat. Permainan mereka tidak terkenal dengan watak NPC yang realistik dengan majoritinya seakan robot yang diberikan klip audio yang membosankan.
Tetapi selagi teknologi ini tidak digunakan pada permainan video sebenar, masih terlalu awal untuk mengatakan Ghostwriter ialah sebuah produk yang gagal ataupun tidak.