Cari @ Amanz

Eric Migicovsky merupakan pengasas kepada jam tangan pintar yang popular suatu ketika dahulu, iaitu Pebble – sebelum ia dibeli oleh Fitbit. Kini, selain beberapa projek yang dalam pembangunan, beliau turut mengumumkan ingin membangunkan telefon pintar Android bersaiz mini atau kompak.

Sebelum ini, beliau pernah hadir dengan petisyen “Small Android Phone”, disebabkan oleh lambakkan telefon bersaiz besar di pasaran yang kurang selesa pada tangan. Pada mulanya ia bertujuan untuk mengalakkan pengeluar lain menghasilkan telefon bersaiz mini, tetapi kini, pasukan beliau sendiri mengambil langkah dalam membawa projek berkenaan ke fasa seterusnya.

Buat masa ini, ia masih pada peringkat awal, malah syarikat atau entiti disebaliknya belum didaftarkan lagi. Mengikut perbincangan awal, ia dijangka mungkin menggunakan cip Snapdragon 8 Plus Gen 1 atau cip Qualcomm yang lain. Ia juga mungkin menyertakan kamera sekadar 50-megapixel, selain menawarkan sokongan perisian sekurang-kurangnya 2 tahun.

Harga jualannya juga dijangka akan sedikit mahal – memandangkan ia akan dikeluarkan dengan kuantiti terhad disebabkan permintaan awal yang rendah, serta kos pembangunannya.

Sebelum ini, pihak Apple sedia hadir dengan iPhone Mini, namun telah menghentikannya. Pihak Sony dan Asus juga pernah hadir dengan penawaran kompak masing-masing, dan telah menghentikannya.

Adakah dengan permintaan telefon bersaiz mini dipasaran yang masih dicari, kita akan melihat kembali kejayaan projek ini seperti Pebble dulu?

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd