Mesolitica, sebuah syarikat yang memfokuskan kepada arena kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, kini hadir dengan sebuah produk baharu dinamakan sebagai Nous.
Nous menawarkan integrasi sokongan dwi-bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Namun, beberapa percubaan kami memperlihatkan ia turut menggunakan bahasa Indonesia dalam memberikan respon.
Nous dilihat dibangunkan dengan tujuan untuk membantu perniagaan atau sesuatu firma dalam menyediakan chatbot tersendiri, sekaligus memudahkan lagi beberapa tugasan – terutamanya melibatkan kepada khidmat pelanggan. Nous boleh terus diintegrasikan bersama perkhidmatan seperti Telegram Messenger, Facebook Messenger dan juga WhatsApp Messenger, selain turut menyediakan widget untuk terus ditambah pada web sesuatu organisasi.
Menariknya pada Nous ini adalah pengguna boleh mengawal data yang diajar kepada chatbot berkenaan. Ketika melakukan penetapan pada Nous, pengguna boleh mengajar ia melalui sejumlah alamat URL, ataupun menggunakan dokumen-dokumen yang dimuatkan pada sesuatu folder Google Drive.
Melalui percubaan kami sendiri, kaedah penetapannya agak mudah. Kami sendiri mencuba dengan mengajar Nous menggunakan dokumen dari Google Drive, dan selepas kurang seminit, ia berjaya menghadam sekitar 10 dokumen yang kami sediakan. Kami menggunakan karya pemenang pertandingan Cereka baru-baru ini dalam menguji Nous, dan sebaik sahaja selesai menghadamnya, Nous berjaya menjawab beberapa pertanyaan yang diutarakan.
Melalui Nous, ia dilihat lebih memfokuskan kepada penyediaan khidmat pelanggan. Beberapa pertanyaan juga dihadkan kepada sejumlah perkataan. Namun, ini boleh dikatakan sebagai sebuah perkembangan menarik dalam arena kecerdasan buatan tempatan, malah membantu syarikat kecil dan sederhana untuk menjana chatbot masing-masing dalam membantu mengoptimasikan kerja mereka tanpa mengeluarkan kos yang tinggi.
Sebagai contoh, pemilik perniagaan boleh mengajar Nous pelbagai dokumen manual berkaitan syarikat mereka, dan seterusnya menjana chatbot dan menghubungkan ia ke Telegram dalam menyediakan khidmat pelanggan. Memandangkan Nous boleh mengenal-pasti bahasa perbualan harian, maka ia boleh digunakan dalam menjawan pertanyaan pelanggan 24 jam sehari tanpa masalah.
Pembangunnya Nous ingin menambah beberapa sokongan baharu pada masa akan datang, termasuk bentuk storan URL baharu, penambahan analitik, sokongan audio ke teks, dan sebagainya.
Buat masa ini, pembangunnya menyatakan aplikasi Nous ini menawarkan fasa ujian selama sehari dengan had 1 chatbot untuk akaun percuma. Bagi anda yang berminat, boleh mencuba Nous ini hari ini.