Google Bard, pencabar kepada ChatGPT telah dibuka untuk pendaftaran dan ujian beta semalam, dan tidak lama selepas itu, nampaknya ia telahpun ditangkap melakukan sesuatu yang tidak begitu molek.
Tom’s Hardware, sebuah laman web perkakasan komputer yang cukup terkenal untuk ulasan dan berita mengenai komponen komputer baru-baru ini telah menguji Google Bard untuk melihat sekiranya ia boleh menjadi pesaing sebenar kepada ChatGPT.

Apabila Bard ditanya mengenai perbezaan diantara cip pemprosesan Intel Core i9-13900K dan AMD Ryzen 9 7950X3D, Google Bard dilihat telah mengambil perenggan secara terus daripada laman web mereka, dan mengatakan bahawa pihak Google Bard sendiri menguji komponen-komponen ini.
Bard kemudiannya ditanya mengenai sumber maklumat yang diambil itu, dan kemudiannya mengatakan bahawa sumbernya ialah dari Tom’s Hardware sendiri. Lebih menarik lagi, apabila ditanya adakah ia telah memplagiat kandungan, Google Bard mengaku sendiri bahawa ya, ia telah memplagiat kandungan dari laman web tersebut.

Walaupun maklumat yang diberikan oleh Google Bard dilihat tepat dan terkini, isu terbesar ialah ia tidak memberikan sumber sebenar kepada jawapan yang diberikan, dan akan mengatakan bahawa sumber tersebut adalah dari mereka sendiri, sehinggalah anda menanyakan tentang sumber maklumat tersebut.
Google Bard sepatutnya memberikan maklumat-maklumat ini dan memberi sumber dari mana mereka mengambil maklumat tersebut. Google Search masih lagi dilihat sebagai enjin carian yang paling berkuasa, tetapi kegiatan menidakkan sumber sahih ini hanya akan memperlihatkan bot tersebut sebagai sebuah perisian yang mencuri kandungan orang lain.
- Sumber
- Tom’s Hardware