Cari @ Amanz

Anda ingat akan aplikasi Hipstamatic? Ia adalah aplikasi media sosial seakan Instagram yang membenarkan pengguna berkongsi gambar dan ikuti rakan-rakan. Tetapi membezakannya dengan IG adalah Hipstamatic memfokuskan kepada penuras dan kesan khas retro untuk semua gambar.

Saya menggunakan Hipstmatic ketika zaman belajar pada peranti Lumia. Aplikasi ini cukup popular sehingga menjadi antara aplikasi pertama menerima anugerah Apple “App of the Year” di bawah Steve Jobs.

Selepas kejayaan aplikasi ini mereka hadir dengan Hisptamatic X pula yang fokus kepada ciri gambar analog. Aplikasi ini baru-baru ini dilancarkan semula sebagai Hipstamatic (aplikasi asal menjadi Hipstamatic Classic) untuk menjadi pesaing kepada Instagram.

Hipstamatic baharu akan memaparkan gambar mengikuti kronologi, tidak akan menawarkan video langsung, tidak akan ada ciri tambahan seakan Reels, tiada iklan dan akan fokus kepada pembinaan komuniti.

Platform ini juga tidak akan ada konsep pempengaruh media sosial kerana setiap akaun mempunyai had untuk mengikut dan diikuti oleh 99 pengguna sahaja. 200 lensa retro turut akan disertakan untuk pengguna berkongsi gambar ala vintaj masing-masing.

Hipstamatic turut tidak lagi percuma digunakan kerana ada langganan RM19.90 sebulan atau RM99.90 setahun untuk menikmati semua ciri dan fungsi yang mereka tawarkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd