Carian
Huawei Mate X3 Kini Rasmi Dengan Skrin 7.85-Inci, Snapdragon 8+ Gen 1 Dan IPX8
March 23, 2023 Effi Saharudin

Huawei Mate X3 telah dilancarkan di China hari ini sebagai peranti skrin boleh lipat paling nipis pernah dihasilkan oleh mereka. Dari segi rekaan ia mirip Z Fold4 kerana dilengkapi dwi skrin dengan skrin 6.4″ OLED LTPO di luar dan 7.85″ OLED LTPO boleh lipat di bahagian dalam.

Cip Snapdragon 8 Gen 1 4G dipadankan dengan storan sehingga 1TB. Tiada maklumat mengenai saiz RAM dapat kami temukan pada laman rasmi Huawei. Bateri yang digunakan sebesar 4800 mAh dengan pengecasan berwayar 66W dan pengecasan nirwayar 50W.

Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar 50MP OIS RYYB, utra sudut lebar 13MP dan telefoto periskop 12MP dengan kemampuan zum optikal sehingga 5X. Sementara itu di luar dan dalam pula sensor 8MP digunakan sebagai kamera swafoto yang diletakkan dalam lubang di skrin.

Apabila dalam kedudukan dibuka, peranti hanya setebal 5.3mm dan seberat 239gram yang menjadikan lebih ringan berbanding Fold4 (263 gram). Lebih menarik ialah Mate X3 melepasi piawaian IP8, mempunyai pemancar infra merah dan turut mempunyai sokongan telekomunikasi satelit Beidou dalam situasi tiada rangkaian selular. Sokongan 5G walau bagaimanapun masih tidak disertakan kerana sekatan teknologi Amerika Syarikat.

Ciri menarik tablet pula ialah akhirnya terdapat Flex Mode pada beberapa aplikasi seperti pemain video, telesidang dan kamera. Ia sama dengan ciri yang kini standard pada peranti skrin boleh-lipat Android di pasaran.

Harga jualan Huawei Mate X3 bermula daripada RMB 12,999 (RM8418) dan meningkat ke RMB 15,999 (~RM10,361) dengan lima pilihan warna.

Komen