Apple kini sekali lagi dilaporkan ingin membida hak untuk penstriman English Premier League (EPL) melalui platform penstriman mereka, Apple TV+. Laporan terbaru ini hadir melalui Bloomberg.
Dengan penawaran akses kepada perlawanan langsung bola sepak, ia dijangka akan menarik lebih ramai ke platform penstriman Apple berkenaan. Apple pada hari ini sedia menawarkan penstriman acara MLS (Major League Soccer) dan juga MLB (Major League Baseball) melalui platform mereka.
Selain Apple, beberapa pihak turut dikaitkan mendapatkan hak siaran penstriman EPL ini yang menerima permintaan ramai seluruh dunia. Apple dijangka membida hak untuk siaran di UK terlebih dahulu, dan bukannya pada peringkat global. Buat masa ini, hak siaran EPL domestik di UK diberikan kepada Sky, BT Sport dan Amazon sehingga musim 2024-25.
Mungkinkah Apple akan berjaya mencuri hati ramai dengan penawaran siaran langsung sukan, selain akses kepada filem dan rancangan siri-TV melalui platform Apple TV+ mereka?