Untuk melanggan apa-apa perkhidmatan, atas ataupun luar talian, proses untuk mendaftar akaun dan mengaktifkan langganan dilihat sangat mudah. Akan tetapi untuk menamatkan langganan tersebut, kadang-kala prosesnya cukup rumit sekali.
Terkini, pihak Federal Trade Commission (FTC) mahu memudahkan proses menamatkan langganan untuk kedua-dua perkhidmatan atas dan luar talian. Ini termasuklah untuk langganan seperti Netflix, Spotify, gim dan sebagainya.

Pelan FTC ialah untuk membolehkan pelanggan-pelanggan apa sahaja perkhidmatan untuk menamatkan langganan dengan menekan satu butang sahaja.
Bukan itu sahaja, mereka juga mahu menetapkan undang-undang supaya langganan boleh ditamatkan secara atas talian sekiranya langganan dilakukan menggunakan cara yang sama. Ini adalah kerana di Amerika Syarikat, kebanyakan syarikat cuba untuk menyukarkan proses menamatkan langganan seperti meminta pelanggan untuk menggunakan khidmat telefon dan sebagainya.
Perkara ini sudahpun mula dilakukan di Eropah, dimana Amazon telah diarahkan untuk memudahkan proses menghentikan langganan perkhidmatan Amazon Prime yang mana orang ramai yang menggunakan langganan percuma, membayar langganan tahunan penuh dan tidak mengingatkan pengguna tentang tempoh tamat langganan percuma sedia ada.
Walaupun perkhidmatan langganan dilihat sebagai sesuatu yang memanfaatkan pengguna dan juga syarikat, menghentikan langganan merupakan sebuah proses yang sukar, khususnya apabila pelanggan perlu menjimatkan wang untuk seketika.
- Sumber
- The Verge