Cari @ Amanz

Samsung Galaxy A34 5G dan Galaxy A54 5G kini ditawarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Kedua-dua dilihat menarik dengan reka bentuk serba baharu, skrin lebih terang, perkakasan dalaman dinaik-taraf dan perisian terkini.

Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkan Galaxy A34 5G pada harga RM1,599. Sementara itu Galaxy A54 5G pula dijual dengan RM1,899 sebuah. Sesi pratempah dibuka hari ini – 6 April 2023 dengan Samsung Galaxy Buds Live (RM594) yang diberi secara percuma.

Bermula dengan Samsung Galaxy A34 5G, ia dilengkapi skrin Super AMOLED sebesar 6.6-inci FHD+ (1080 X 2340 piksel) dengan kadar segar semula 120Hz. Ini dipadankan pula dengan cip MediaTek Dimensity 1080, memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB.

Tri-kemara utama digunakan dengan konfigurasi 48MP (lebar) + 8MP (ultra-lebar) + 5MP (makro) dan kamera swafoto 16MP. Seterusnya bateri disertakan pula sebesar 5,000mAh yang menyokong pengecasan 25W dan boleh dicas menggunakan port USB-C. Tiada bicu audio 3.5mm disertakan sama seperti generasi sebelum ini.

Seterusnya Samsung Galaxy A54 5G pula dilengkapi skrin lebih kecil bersaiz 6.4-inci. Skrin adalah sejenis Super AMOLED dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Ini dipadankan pula dengan cip Exynos 1380, memori 8GB RAM dan storan 256GB terbina.

Kamera utama terdiri dengan 50MP (lebar) + 12MP (ultra-lebar) + 5MP (makro), manakala kamera swafoto pula 32MP. Turut dimuatkan ialah bateri 5000mAh dengan pengecasan 25W, namun tiada bicu audio 3.5mm sama seperti generasi terdahulu.

Anda juga boleh menggunakan kod khas AMGA34545G bagi mendapatkan aksesori 35W PD Power Adapter Duo yang bernilai RM 99 secara percuma apabila membeli Galaxy A34 | A54 di laman rasmi Samsung. Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan promosi menarik mengenai Samsung, sila layari laman web rasmi mereka. 

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd