Elon Musk Dilaporkan Pernah Cuba Ambil-Alih OpenAI Pada 2018, Tetapi Gagal
Aman
Elon Musk sebelum ini pernah menjadi sebahagian daripada pasukan awal yang membentuk OpenAI, namun telah meninggalkan firma tersebut tidak lama selepas itu.
Kini, mengikut laporan Semafor, Elon Musk pada awal 2018 yang lepas, agak risau akan OpenAI jatuh dibelakang Google dalam arena kecerdasan buatan, dan ingin mendapatkan keseluruhan pegangan OpenAI untuk menerajuinya sendiri sepenuhnya.

Walaubagaimanapun, perkara tersebut telah ditolak oleh pengasas OpenAI yang lain, termasuk Sam Altman, CEO semasa untuk OpenAI.
Perkara tersebut dikatakan membuatkan Elon Musk meninggalkan firma tersebut pada 2018 yang lepas, mengatakan kerja di OpenAI akan membawa kepada konflik dengan tugasan di Tesla.
Selepas Elon Musk meninggalkan firma tersebut, disebabkan terpaksa menanggung bil yang tinggi dalam pembangunan dan pemprosesan platform kecerdasan buatan dan penjanaan seperti Dall-E dan GPT, pihak OpenAI seterusnya membentuk entiti memfokuskan keuntungan, dan seterusnya telah mula mendapatkan dana daripada Microsoft.
Kini, kedua-dua pihak, OpenAI dan juga Microsoft dilihat bergerak pantas dalam mengintegrasikan dan memperkenalkan pelbagai perkara berkaitan kecerdasan buatan dan penjanaan imej atau teks.
Elon Musk sendiri sebelum ini turut telah dilihat mula mencari sejumlah pengkaji dan pembangun dalam membangunkan syarikat alternatif kepada OpenAI sendiri.