Cari @ Amanz

Siri kad grafik Intel Arc Alchemist dilancarkan secara rasmi pada awal tahun lepas dan memperlihatkan prestasi kelas pertengahan yang selari dengan tanda harganya. Walaupun ia tidak sehebat pilihan yang diperlihatkan oleh AMD dan NVIDIA, ia cukup baik untuk menggerakkan permainan-permainan kegemaran mereka pada resolusi dan tetapan yang tiada isu lengah masa.

Terkini, butiran mengenai siri kad grafik generasi kedua Intel, iaitu Intel Arc Battlemage telah diperlihatkan melalui beberapa tangkapan layar yang tertiris. Siri kad grafik ini, pada penawaran tertingginya akan hadir dengan jumlah 64 teras berbanding dengan 32 pada model sebelumnya.

Ia juga akan tampil dengan sejumlah 1024 Execution Units, dua kali lebih banyak berbanding dengan Arc Alchemist dan akan hadir dengan kelajuan sekitar 3.0GHz.

Kad grafik ini juga nampaknya akan dibina menggunakan proses 4nm oleh TSMC, yang dijangka akan hadir dengan prestasi yang jauh lebih baik berbanding dengan apa yang ditawarkan oleh kad grafik seperti Intel Arc A770 sebelum ini.

Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi apakah pilihan kad grafik yang akan diperlihatkan oleh Intel, tetapi sekiranya ia adalah lebih kurang sama seperti apa yang diperlihatkan melalui Intel Arc Alchemist, mereka nampaknya akan memperkenalkan sejumlah penawaran untuk komputer desktop dan juga komputer riba.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd