Pelancaran Global Huawei P60 Pro Dan Mate X3 Akan Berlangsung Mei Depan
Effi Saharudin
Siri Huawei P60, P60 Pro, P60 Art dan Mate X3 telah dilancarkan minggu lalu dengan tumpuan diberikan kepada kemampuan fotografi XMAGE serta kemampuan komunikasi satelit. Huawei telah mengesahkan pelancaran peringkat global peranti terkini mereka pada 9 Mei depan di sebuah acara yang berlangsung di Munich, Jerman.

Untuk peringkat global hanya P60 Pro dan Mate X3 sahaja akan dilancarkan di Eropah. Tidak diketahui lagi sama ada ini juga akan berlaku di pasaran lain seperti Malaysia. P60 Pro dilengkapi cip Snapdragon 8+ Gen 1, kamera utama sebesar 48MP f/1.4~f/4.0 dengan OIS, 48MP telefoto f/2.1 dengan OIS, dan 13MP ultra sudut lebar f/2.2. Pada bahagian hadapan pula kamera 13MP f/2.4 digunakan. Zum optikal hingga 5X disokong, zum digital 100X dan terdapat juga sistem kamera XMAGE.

Sementara itu Mate X3 pula dilengkapi dengan skrin 6.4″ OLED LTPO di luar dan 7.85″ OLED LTPO boleh lipat di bahagian dalam. Cip Snapdragon 8+ Gen 1 4G dipadankan dengan kamera utama yang menggabungkan lensa sudut lebar 50MP OIS RYYB, ultra sudut lebar 13MP dan telefoto periskop 12MP dengan kemampuan zum optikal sehingga 5X. Sementara itu di luar dan dalam pula sensor 8MP digunakan sebagai kamera swafoto yang diletakkan dalam lubang di skrin.