KitaJaga merupakan salah satu aplikasi yang telah dibangunkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini, dengan tujuan untuk membantu satu sama lain dalam mendapatkan bekalan makanan dan sebagainya. Sejak daripada itu, aplikasi KitaJaga telah dikembangkan sedikit demi sedikit.
Terbaru, KitaJaga bersama Kementerian Ekonomi mengumumkan pengenalan ciri menyemak harga runcit barangan mengikut lokaliti tertentu.
Dengan ciri ini, pengguna boleh memilih ciri “Cek Harga” pada aplikasi KitaJaga, dan seterusnya membuat carian barangan runcit yang dikehendaki. Ia seterusnya akan memaparkan harga mengikut lokasi, dan membolehkan anda melihat dimanakah lokasi berdekatan dengan harga yang rendah.
Untuk tujuan ini, KitaJaga menggunakan data daripada OpenDOSM, serta mengintegrasikan ia pada aplikasi KitaJaga.
Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun aplikasi KitaJaga hari ini, dan menggunakan ciri “Cek Harga” ini. Versi web masih belum memaparkan akses ke “Cek Harga” ini mengikut tinjauan kami, dan memerlukan anda mengaksesnya melalui aplikasi KitaJaga di Android dan iPhone.